Berita Menarik

Dana RM92.5 bilion: SPRM tahan ketua pegawai eksekutif syarikat

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat swasta kerana disyaki menjadi dalang dalam pengagihan projek kerajaan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi sepanjang 2020 hingga 2022.

Sumber berkata, lelaki 42 tahun itu ditahan ketika hadir memberikan keterangan dalam siasatan kes berkenaan di ibu pejabat SPRM, Putrajaya, malam tadi.

Katanya, Ketua Pegawai Eksekutif yang ditahan itu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini dan ditahan reman selama lima hari bermula hari ini hingga Selasa depan.

"Suspek yang ditahan itu dipercayai menerima rasuah bagi menghubungkan kontraktor dengan pihak atasan.

"Setakat ini, beberapa kontraktor yang disoal siasat mengaku bersetuju membayar komisyen sebanyak tiga hingga lima peratus sebelum dimasukkan ke akaun sebuah parti politik kononnya untuk tujuan pembiayaan politik," kata sumber itu.

Sumber itu berkata, SPRM membuka beberapa kertas siasatan terhadap sekurang-kurangnya lima individu yang dipercayai menjadi dalang atau orang tengah kepada beberapa syarikat untuk memperoleh projek bernilai antara RM50 juta hingga RM500 juta.

"Hampir 90 peratus projek yang diberikan secara runding terus masih belum dilaksanakan kerana tiada pengeluaran surat setuju terima lagi.

"Justeru, SPRM akan memfokuskan kepada siasatan terhadap baki 10 peratus projek yang sedang berjalan membabitkan perkembangan projek antara 10 peratus hingga 20 peratus," katanya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan, penahanan lelaki itu.

Katanya, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009.

Sebelum ini, SPRM dilaporkan berkata pihaknya akan memberikan tumpuan kepada siasatan dana kerajaan bernilai RM92.5 bilion daripada nilai dakwaan penyelewengan wang perbelanjaan negara yang dianggarkan hampir RM600 bilion.

Ini kerana menurut SPRM, siasatan mereka mendapati dana RM92.5 bilion itu adalah dana kerajaan di bawah program rangsangan dan pemulihan ekonomi manakala bakinya RM437.5 bilion bukan daripada kerajaan.


Hit : 1543