Berita Menarik

Dua kakitangan Hospital Kajang dipenjara, denda perdagang jenazah

SHAH ALAM: Perbuatan dua kakitangan Hospital Kajang ‘memperdagangkan’ jenazah Islam antara 2019 dan 2021 memakan diri apabila dipenjara enam hingga lapan hari oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Tertuduh, Mohd. Fariq Ariffin dan Mohd. Redzuan Che Husain masing-masing berusia 34 tahun turut didenda antara RM11,000 dan RM20,000.

Hakim Rozilah Salleh memutuskan demikian selepas kedua-dua Penolong Pegawai Perubatan itu mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan dibacakan ke atas mereka.

Selain itu, mahkamah turut menetapkan hukuman tambahan penjara 18 bulan kepada Mohd. Fariq yang berdepan tiga pertuduhan dan 24 bulan kepada Mohd. Redzuan (empat pertuduhan) sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut tujuh pertuduhan, mereka yang bertugas di Unit Forensik Hospital Kajang didakwa menerima suapan antara RM1,000 dan RM1,550 daripada seorang lelaki tanpa balasan bagi kerja pengurusan jenazah.

Perbuatan itu dilakukan di dua bank masing-masing di Taman Medan Bercham, Ipoh, Perak dan Petaling Jaya antara 14 Ogos 2019 hingga 21 Januari tahun lalu.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Aliff Shahruzaman manakala dua tertuduh diwakili peguam Mohd. Fikah Sanusi.

Difahamkan, mereka telah digantung tugas sejak April tahun lalu.

Pada 22 Disember tahun lalu, media melaporkan perbuatan tiga kakitangan Hospital Kajang yang terlibat dalam urusan ‘memperdagangkan’ jenazah Islam membawa padah apabila dipenjara sehari dan denda antara RM3,000 hingga RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen. – UTUSAN


Hit : 1282