Berita Menarik

Bekas guru besar SRA didakwa rasuah RM164,800

SHAH ALAM – Seorang bekas guru besar sebuah Sekolah Rendah Agama (SRA), didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini, atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM164,800 pada 2019 dan 2021.

Suapan itu bagi kerja-kerja selenggara dan naik taraf bangunan dan infrastruktur SRA dalam daerah Petaling dan Kuala Selangor.

Tertuduh, Kamaludin Sahlan, 50, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Kamaluddin sebelum ini bertugas di SRA dalam daerah Petaling Jaya, didakwa meminta 11 peratus dan menerima RM164,800 menerusi pindahan atas talian ke akaun bank miliknya daripada seorang lelaki berusia 52 tahun sebagai dorongan serta membantu individu tersebut mendapatkan kerja-kerja selenggara dan naik taraf bangunan dan infrastruktur SRA dalam daerah Petaling dan Kuala Selangor.

Kesemua perbuatan itu dilakukan di Telok Panglima Garang, Kuala Langat dekat sini dan sebuah cawangan bank di Kota Kemuning, Seksyen 31 di sini antara Mei 2019 hingga 21 April 2021.

Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) akta yang sama.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 bagi setiap pertuduhan.

Difahamkan Kamaludin kini ditempatkan di Unit Pendidikan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Mohd Aliff Shaharuzaman manakala tertuduh diwakili Peguam Mohd. Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM30,000 bersama seorang penjamin selain syarat tambahan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah serta melaporkan diri pada minggu pertama setiap bulan di pejabat SPRM yang berdekatan.

Sebutan semula kes pada 26 Januari tahun depan.

Kosmo! pada 15 Mac lalu melaporkan dua guru termasuk seorang guru besar yang disyaki berkomplot dalam rasuah projek naik taraf 27 bangunan SRA direman selama empat hari bagi membantu siasatan kes tersebut. – KOSMO! ONLINE


Hit : 2092