Kes-kes Menarik

Cikgu sekolah memandu makan rasuah RM400

JOHOR BAHRU – Seorang cikgu sekolah memandu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima rasuah bagi membantu meluluskan ujian memandu seorang pelajar, awal tahun lalu.

Tertuduh, Abu Zaharin Osman, 53, bagaimanapun tidak mengaku salah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu secara rasuah telah menerima wang tunai berjumlah RM400 daripada seorang wanita berusia 29 tahun sebagai dorongan bagi membantu meluluskan ujian memandu di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu pada pukul 1 petang di hadapan restoran makanan segera di Jalan Hanis Najihah, Taman Perling, 23 Februari tahun lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika disabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pilihan, Abu Zaharin didakwa telah diberikan wang suapan berjumlah RM400 daripada seorang wanita bagi membantu meluluskan ujian memandunya di JPJ yang mana telah gagal melaporkan pemberian penyogokan kepada SPRM.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di sebuah restoran makanan segera di Jalan Hanis Najihah, Taman Perling di sini, jam 1 petang, 23 Februari 2021.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(2) akta yang sama.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Ikhwan Ihsan Jalaludin manakala tertuduh diwakili peguam, K. Bharathi.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin warga tempatan berserta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah selain menetapkan 12 Disember ini sebutan semula.

Sumber : KOSMO! ONLINE


Hit : 414