Berita Menarik

Pembantu tadbir didakwa pecah amanah lebih RM41,000 wang khairat kematian

KUANTAN: Ibu kepada tiga anak, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan pada Selasa atas tuduhan melakukan pecah amanah wang khairat kematian berjumlah melebihi RM41,000.

Tertuduh, Nurul Syafiha Awang Za, seorang pembantu tadbir di sebuah Felda di Kuantan, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Mengikut pertuduhan, perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Felda Panching Timur Kuantan antara Februari 2018 hingga Jun 2019.

Dia yang diamanahkan Roslan Kamin dengan harta iaitu wang tunai RM41,652.42 bagi tujuan pembayaran khairat kematian kepada tujuh waris peneroka Felda Sungai Panching yang meninggal dunia telah melakukan pecah amanah jenayah iaitu secara tidak jujur dan menggunakan wang tersebut bagi kegunaan sendiri.

Nurul Syafiha didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika didapati bersalah.

Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin selain pasport diserah kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri di Pejabat SPRM Kuantan sebulan sekali.

Mahkamah menetapkan 22 Disember depan untuk sebutan semula kes.

Sumber : UTUSAN


Hit : 1748