Berita Menarik

Pengurus besar tidak mengaku subahat tipu tuntutan RM1.2 juta

SHAH ALAM – Seorang pengurus besar Syarikat Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas tiga pertuduhan bersubahat untuk menipu PHB berhubung bayaran tuntutan lebih RM1.2 juta.

Ia membabitkan kerja-kerja yang tidak pernah dijalankan bagi projek pembinaan pusat beli-belah di Terengganu bermula dua tahun lalu.

Tertuduh, Khairul Anuar Abd Samad, 48, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut kesemua pertuduhan, lelaki itu didakwa bersubahat dengan perunding syarikat pembinaan, Mohd Azhari Che Omar, 43, untuk menipu PHB iaitu membantunya dengan menandatangani sijil pengesahan pembayaran bertarikh 16 November 2020 dan 22 Januari 2021.

Tuntutan itu merupakan sebahagian daripada jumlah keseluruhan, hampir RM46 juta.

Tindakan itu telah mendorong PHB untuk membuat pembayaran kepada Syarikat Gafis pada 9 Disember 2020 hingga 15 Februari 2021.

Sedangkan tertuduh mengetahui bahawa kerja-kerja itu tidak pernah dijalankan dalam projek cadangan membina dan menyiapkan pembangunan fasa 1, iaitu pusat beli-belah di Kuala Terengganu.

Kesalahan didakwa dilakukan di Dataran PHB, di sini pada 1 Disember 2020 hingga 8 Februari 2021.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 420 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun dan sebat serta boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin dan dikenakan syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Peguam, Mohd Fikah Sanusi yang mewakili tertuduh, tidak membantah cadangan tersebut.

Selepas mendengar permohonan itu, Rozilah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM60,000 dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 25 November untuk sebutan semula kes.

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan, Mohd Azhari dan pengurus perolehan dan kontrak Syarikat Gafis, Rosliza Lah, 46, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur masing-masing atas tiga pertuduhan kes menipu PHB.

Mohd Azhari dituduh menipu syarikat pelaburan itu manakala Rosliza atas dakwaan bersubahat dengan Mohd Azhari berhubung bayaran tuntutan dan projek yang sama.

Sumber : Berita Harian

Hit : 2362