Berita Menarik

Perunding tidak mengaku tipu syarikat pelaburan RM1.2 juta

KUALA LUMPUR – Seorang perunding syarikat pembinaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa, atas tiga pertuduhan menipu syarikat pelaburan berhubung bayaran tuntutan lebih RM1.2 juta bagi kerja-kerja yang tidak pernah dijalankan, untuk projek pembinaan pusat beli-belah di Terengganu, dua tahun lalu.

Mohd Azhari Che Omar, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Mengikut kesemua pertuduhan, lelaki itu didakwa menipu sebuah syarikat pelaburan dengan memperakukan bahawa Syarikat Gafis (M) Sdn Bhd layak mendapatkan pembayaran bagi tiga tuntutan berkala berjumlah RM1.2 juta bagi kerja-kerja ujian penerimaan kilang (FAT) bagi beberapa peralatan.

Tuntutan itu merupakan sebahagian daripada jumlah keseluruhan projek bernilai hampir RM46 juta.

Sedangkan tertuduh mengetahui bahawa kerja-kerja itu tidak pernah dijalankan dalam projek cadangan membina dan menyiapkan pembangunan fasa 1, iaitu pusat beli-belah di Kuala Terengganu.

Tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong syarikat pelaburan untuk membuat pembayaran tersebut kepada Syarikat Gafis pada 9 Disember 2020 hingga 15 Februari 2021 di pejabat YHS Associates Sdn Bhd, Pandan Jaya di sini antara 6 November 2020 hingga 8 Januari 2021.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman sebat dan penjara antara satu hingga 10 tahun serta boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, seorang lagi tertuduh, pengurus perolehan dan kontrak Syarikat Gafis, Rosliza Lah, 46, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen berasingan atas tuduhan bersubahat dengan Mohd Azhari bagi tujuan sama.

Wanita itu membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa bersubahat dengan Mohd Azhari iaitu sengaja membantu menyediakan dokumen yang diperlukan untuk menipu syarikat pelaburan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dengan cara memperakukan bahawa Syarikat Gafis layak untuk mendapat pembayaran bagi tiga tuntutan berkala bagi kerja-kerja dan jumlah yang serupa.

Ia mendorong syarikat pelaburan itu untuk membuat pembayaran kepada Syarikat Gafis pada tarikh sama.

Kesalahan didakwa dilakukan di lokasi dan tarikh sama manakala pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 420 kanun sama yang membawa peruntukan hukuman sama.

Kedua-dua kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib manakala Mohd Azhari diwakili peguam, Hasnan Hamzah sementara Rosliza oleh Mohd Fikah Sanusi.

Semasa prosiding, Ahmad Akram mencadangkan Mohd Azhari diberi ikat jamin dengan seorang penjamin, sebanyak RM150,000 manakala RM50,000 bagi Rosliza.

“Pendakwaan juga mencadangkan kedua-dua tertuduh dikenakan syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah,” katanya.

Peguam yang mewakili kedua-dua tertuduh, tidak membantah cadangan tersebut.

Selepas mendengar permohonan itu, hakim-hakim membenarkan tertuduh diikat jamin sebagai mana yang dicadangan pasukan pendakwaan dan menetapkan 16 Disember depan dan 5 Januari 2023 untuk sebutan semula kes.

Sumber : Berita Harian

Hit : 2304