Kes-kes Menarik

Bekas Timbalan Naib Canselor UTHM mula hukuman penjara

KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Prof Ir Dr Abdul Aziz Abdul Samad, memulakan hukuman penjara dua tahun bermula hari ini kerana meminta dan menerima suapan RM15,000 daripada seorang kontraktor, 11 tahun lalu.

Portal berita FMT melaporkan, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, yang dipengerusikan oleh Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Hanipah Farikullah, berkata terdapat merit dalam permohonannya untuk mengetepikan pembebasan yang sudah diberikan oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru sebelum ini.

"Berdasarkan keseluruhan bukti, kami berpuas hati pihak pendakwaan membuktikan unsur pertuduhan," katanya.

Hanipah berkata, pihak pembelaan gagal untuk menyangkal tanggapan di bawah Seksyen 50 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 bahawa wang itu dianggap diminta atau diterima secara rasuah.

"Hakim Mahkamah Tinggi telah tersilap dalam undang-undang dan fakta. Sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah terdahulu, dikekalkan," katanya.

Hanipah bersidang bersama dua Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Nordin Hassan.

Mahkamah kemudian mengeluarkan waran komital untuk Abdul Aziz, 62, menjalani hukuman penjara kerana tiada jalan untuk rayuan selanjutnya.

Abdul Aziz sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 16(a) Akta SPRM kerana meminta dan menerima suapan secara rasuah, yang membolehkannya dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai daripada suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pada 2017, Mahkamah Sesyen di Johor Bahru mensabitkannya atas kedua-dua kesalahan dan menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM75,000, bagi setiap kesalahan. Hukuman penjara itu diperintahkan berjalan serentak.

Dalam fakta kes, Abdul Aziz meminta rasuah RM15,000 daripada kontraktor Anal Talhah pada Disember 2010 dan menerima wang itu melalui akaun peribadinya di Bank Muamalat, Parit Raja dekat Batu Pahat pada 28 Januari 2011.

Suapan itu adalah dorongan untuk membantu kontraktor terbabit mendapatkan projek tertentu daripada pejabat Pembangunan dan Pengurusan Hartanah UTHM.

Pada masa itu, tertuduh adalah Pengerusi Jawatankuasa Tawaran Tender UTHM dan Ahli Lembaga Pemerolehan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wong Poi Yoke, manakala peguam, Shahruddin Ali dan Azfah Azmi mewakili Abdul Aziz.

Sumber : Berita Harian


Hit : 749