Kolumnis@SPRM

Isytihar harta langkah awal sifar rasuah, jaga integriti

Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) dan Ketua Kluster Tadbir Urus dan Integriti, Majlis Profesor Universiti Utara Malaysia (UUM)

TITAH Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah amalan rasuah di negara ini berada pada skala bahaya menunjukkan gejala rasuah perlu segera dibanteras, sekali gus tidak lagi boleh dipandang ringan.
Peringatan itu sangat bertepatan kerana baginda bertitah demikian ketika melancarkan buku tulisan Prof Emeritus Tan Sri Dr M Kamal Hassan, iaitu Korupsi dan Kemunafikan Dalam Politik Melayu, Perlunya Disegerakan Transformasi Moral Etika.

Justeru, tindakan memandang ringan, menafikan dan menidakkan kewujudan rasuah depan mata perlu diubah. Bahkan, teguran berulang kali oleh Ketua Audit Negara melalui penemuan dalam Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) adalah indikator keseriusan tahap amalan rasuah di negara kita.

Justeru, titah Sultan Perak dengan jelas menunjukkan amalan rasuah perlu dihapuskan pada semua peringkat tidak kira sama ada dalam perkhidmatan awam mahupun agensi swasta.

Amaran Sultan Perak ini tidak boleh masuk telinga kanan, keluar telinga kiri, sebaliknya dijadikan panduan untuk semua pihak berusaha menghindarkan diri daripada terbabit dalam gejala rasuah.

Oleh itu, langkah kerajaan mewajibkan ketua pegawai eksekutif (CEO) di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta ahli badan kehakiman untuk mengisytiharkan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah tindakan proaktif untuk mengelak penjawat jawatan penting serta strategik daripada 'disentuh' amalan rasuah dan salah laku.

Langkah itu dibuat melalui pengumuman Mesyuarat Jawatankuasa Khas Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) beberapa hari sebelum titah Sultan Perak itu.Tindakan seperti ini sangat wajar kerana akan mencerminkan ketelusan badan kerajaan dan entiti berkaitan kerajaan, sekali gus secara langsung meningkatkan keyakinan dan kepercayaan masyarakat terhadap kerajaan, terutama bagi menghakis persepsi masyarakat bahawa individu yang dilantik akan menggunakan kedudukan untuk meningkatkan kekayaan diri dan keluarga mereka.

Dengan mengisytiharkan harta masing-masing seperti penjawat jawatan penting lain, umpamanya ahli Kabinet, masyarakat dapat menilai setiap ketua organisasi tidak akan sewenang-wenangnya meningkatkan kekayaan menerusi kedudukan mereka.

Apabila semua CEO ini mengisytiharkan harta kepada SPRM, mereka lebih berhati-hati dalam tindakan kerana sebarang usaha untuk menggunakan kedudukan bagi mengumpul kekayaan akan mudah dikenal pasti.

Pengisytiharan ini juga boleh bertindak sebagai langkah pencegahan kepada semua CEO untuk meningkatkan akauntabiliti masing-masing. Amalan sebegini sebenarnya tidak asing di negara maju kerana semua ketua organisasi, termasuk ketua negara seperti di Amerika Syarikat (AS) wajib mengisytiharkan harta.

Yang lebih menarik, pengisytiharan harta ini akan didedahkan kepada umum supaya masyarakat dapat mengetahui sejauh mana setiap ketua itu memiliki nilai kekayaan.

Dalam konteks inisiatif mewajibkan hakim mengisytiharkan harta pula, ia dapat meningkatkan lagi tahap integriti hakim kerana dapat mengelak sebagai penjawat awam menggunakan kedudukan untuk mendapat faedah kewangan dan bukan kewangan.

Inisiatif ini pasti meningkatkan lagi imej badan kehakiman di negara ini walaupun diakui kes berkaitan rasuah dan salah laku dalam kalangan hakim adalah kecil, usaha ini sangat baik bagi meningkatkan lagi integriti dan akauntabiliti golongan itu.

Hakikatnya, usaha kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk meningkatkan urus tadbir baik dalam kerajaan menunjukkan komitmen berterusan menambah baik kualiti dan integriti perkhidmatan awam.

Inisiatif pengisytiharan harta dilaksanakan merangkumi penjawat awam, CEO syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan serta ahli badan kehakiman, termasuk ahli badan eksekutif dan perundangan adalah sebahagian proses transformasi kerajaan meningkatkan tahap kepercayaan masyarakat.

Menerusi usaha ini, tahap akauntabiliti dan integriti penjawat awam serta ahli politik boleh ditingkatkan, sekali gus pasti mengurangkan gejala rasuah serta salah laku dalam kerajaan.

Tuntut komitmen semua pihak

Secara keseluruhannya, usaha kerajaan mencapai sifar rasuah hanya akan berjaya dengan komitmen berterusan kepemimpinan negara untuk mewajibkan penjawat utama dalam badan kerajaan atau entiti berkaitannya seperti GLC dan GLIC mengisytiharkan harta kepada SPRM.

Tindakan kerajaan ini perlu disokong semua pihak bagi memastikan amalan rasuah bukan sahaja mesti dibanteras, bahkan perlu dielak daripada awal sebelum ia berlaku.

Imej negara, kestabilan politik dan keyakinan pelabur asing sangat bergantung kepada tahap rasuah di negara kita. Jika rasuah masih berleluasa, sudah tentu ia akan merugikan negara serta memburukkan imej negara di mata dunia.

Sehubungan itu, semua pihak perlu melaksanakan peranan masing-masing agar jenayah rasuah dapat dibendung dan dibanteras agar tidak merugikan negara dan merosakkan masyarakat pada masa depan.

Penafian : Tulisan ini adalah pandangan penulis dan tiada kaitan dengan pendirian rasmi SPRM.

Hit : 543