Berita Menarik

Tuntutan palsu, Timbalan pengarah SKMM dipenjara tujuh hari, denda RM25,000

Kota Kinabalu: Seorang Timbalan Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dipenjara tujuh hari dan didenda RM25,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, di sini, hari ini atas pertuduhan membuat tuntutan palsu berkaitan sewaan bot pada 2013.

Tertuduh, Mohd Daffy Liamin, 37, mengaku bersalah di hadapan Hakim Abu Bakar Manat atas tiga pertuduhan membuat tuntutan palsu.

Mengikut pertuduhan, pada 7 Mac 2013 bertempat di SKMM Negeri Sabah, tertuduh yang ketika itu Penolong Pengarah di SKMM Pejabat Wilayah Sabah Cawangan Beaufort dengan curangnya menggunakan satu dokumen palsu.Tertuduh didakwa menggunakan dokumen tiga Resit Pelayaran Persatuan Pengusaha Bot Tambang Menumbok (PPBTM), untuk bayaran sewa bot bernilai keseluruhan RM9,000.

Mohd Daffy didakwa menggunakan dokumen berkenaan untuk tujuan menipu bagi pembuktian kononnya perbelanjaan itu digunakan berhubung perkhidmatan sewaan bot untuk Program Himpunan Kasih Sayang Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan pada 2013. Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 468 Kanun yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh yang boleh berlangsung hingga tujuh tahun, dan boleh juga boleh dikenakan denda. Mahkamah kemudiannya menetapkan bagi pertuduhan pertama, tertuduh dihukum penjara selama tujuh hari serta denda sebanyak RM5,000 dan jika tidak dibayar denda boleh dipenjara selama sebulan. Manakala bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh dihukum penjara selama tujuh hari serta denda RM10,000 setiap pertuduhan dan jika tidak dibayar boleh dipenjara selama tiga bulan.

Semua hukuman penjara tujuh hari bagi ketiga-tiga pertuduhan diarahkan berjalan secara serentak. Kes pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa SPRM, Dzulkarnain Rousan Hasbi manakala tertuduh diwakili peguam Joseph Perira T. P. Perira.


Sumber : Harian Metro

Hit : 1734