Berita Menarik

Mahkamah: Anggota bomba didakwa terima rasuah RM3,000 bantu dapat lesen berniaga

SHAH ALAM – Seorang anggota bomba mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas dua tuduhan meminta dan menerima suapan RM3,000 bagi membantu sebuah syarikat mendapatkan lesen perniagaan dari sebuah pihak berkuasa tempatan, tahun lalu.

Tertuduh, Mohd. Nor Abdullah, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali. Mohd. Noor didakwa semasa kejadian sebagai Penolong Penguasa Bomba Gred KB29 di Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang Zon 3 telah meminta dan menerima rasuah daripada seorang lelaki berusia 36 tahun. Ini sebagai dorongan mendapatkan sokongan daripada pihak Bomba untuk mendapatkan lesen perniagaan daripada Majlis Perbandaran Klang (MPK) kepada sebuah syarikat swasta yang dilakukan tertuduh pada 30 November dan 1 Disember pada tahun lalu.

Justeru, dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16(a)(B) dan Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 serta boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.
Sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun, denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Mohd. Aliff Shahruzaman manakala tertuduh diwakili Peguam PG Cyril. Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM8,000 bersama seorang penjamin dan dua syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamahbserta melaporkan diri pada minggu pertama setiap bulan di pejabat SPRM.

Kosmo! pada 12 Mei lalu melaporkan seorang anggota bomba di Selangor direman empat hari bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah RM3,000 bagi membantu sebuah syarikat mendapatkan lesen perniagaan dari sebuah pihak berkuasa tempatan, tahun lalu.
Sumber-Kosmo

Hit : 1431