Kes-kes Menarik

SPRM tahan pengarah, bekas timbalan pengarah MAQIS Kelantan

Kota Bharu: Pengarah dan bekas Timbalan Pengarah Jabatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Kelantan masing-masing 

direman tujuh hari di Mahkamah Majistret di sini, hari ini bagi membantu siasatan kes mengemukakan tuntutan yang mengandungi butiran matan palsu.

Pengarah yang berusia 44 tahun ditahan pada 8.45 malam tadi, manakala bekas timbalan pengarah berusia 55 tahun ditahan 7 petang kelmarin.

Mereka ditahan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan.

Pengarah direman bermula hari ini sehingga Rabu ini, manakala bekas timbalan pengarah direman bermula kelmarin sehingga Selasa.

Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Mohd Izdham Naim Che Ani untuk siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 kerana tuntutan palsu.

Kedua-duanya ditahan kerana dikatakan berpakat dengan pembekal bagi mengemukakan tuntutan yang mengandungi butiran matan palsu berhubung pembekalan makanan haiwan kepada Maqis Kelantan pada Januari dan Mac lalu.

Sementara itu, usaha untuk mendapatkan kenyataan daripada Pengarah SPRM Kelantan Rosli Husain gagal apabila panggilan tidak dijawab.


Hit : 512