Berita Menarik

Pengarah projek direman buat tuntutan palsu RM2.4 juta

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah menahan seorang pengarah projek syarikat kerana disyaki terlibat membuat tuntutan palsu kira-kira RM2.4 juta berhubung pembayaran projek kabel dasar laut di utara tanah air.

Perintah tahanan reman selama lima bermula Khamis dikeluarkan Majistret, Noorlynna Hanim Abd Halim selepas meluluskan permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret 4, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Lelaki berusia 46 tahun itu ditahan kira-kira jam 4 petang di ibu negara ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kuala Lumpur pada Rabu.

Menurut sumber, syarikat yang mengendalikan projek tersebut telah membuat lebihan bayaran kira-kira RM2.4 juta kepada syarikat kontraktor apabila pihak kontraktor mengemukakan invois tuntutan berdasarkan dokumen yang mengandungi butiran palsu.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manaf ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan dan siasatan lanjut sedang dilakukan pihaknya.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009," katanya.

Sumber : Sinar Harian

Hit : 1533