Kolumnis@SPRM

Rasuah bukan ‘rezeki’ tambahan

Noor Mohamad Shakil Hameed 
Timbalan Ketua, Jawatankuasa Pemikir Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW)

KITA masih berada dalam mood sambutan Bulan Kebangsaan dan inilah masa terbaik untuk dibincangkan bagaimana negara ini boleh dibebaskan daripada belenggu penjajahan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan yang menjadi duri dalam daging dan terus menghantui masyarakat.

Hakikatnya, walaupun kita tidak lagi dijajah oleh kuasa asing sekali gus tiada keperluan untuk mengangkat senjata di medan peperangan, namun harus diingat rasuah mula menghancurkan kehidupan sosial rakyat dan ekonomi negara.

Sedar atau tidak, individu dan kelompok yang memberi dan menerima rasuah mula menjarah dan menjajah pendapatan negara dengan rakusnya sehingga menjejaskan kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara.

Kelompok ini sudah tidak mempedulikan lagi kepentingan rakyat dan negara sebaliknya hanya memikirkan bagaimana untuk terus mengumpul harta dan kekayaan melalui jalan pintas menggunakan segala kuasa dan kedudukan yang mereka ada.

Perkara ini perlu dipandang serius kerana tidak mustahil ada yang sanggup menjual rahsia negara sehingga tergadai semula kedaulatan apabila diberikan suapan mahupun pelbagai ganjaran menarik.

Jujurnya, sudah ada individu yang diberi amanah melalui jawatan dan kuasa semakin gelap mata dan buta hati lantas hanyut dengan godaan umpanan pihak yang ada kepentingan.

Akhirnya, rakyat dan negara menanggung penderitaan dan kerugian besar. Jika keadaan ini dibiarkan berterusan, segala perancangan pembangunan kerajaan akan terbantut dan tergendala serta tidak akan sampai kepada golongan sasar.

Maka menjadi kewajipan setiap warganegara yang bertanggungjawab untuk bangkit berjuang membebaskan negara daripada kerakusan kelompok yang sedang merosakkan negara ini.

Setiap anggota masyarakat perlu ingat betapa generasi terdahulu terpaksa membayar harga cukup tinggi untuk membebaskan negara daripada penjajah khususnya dengan air mata, keringat, darah dan juga nyawa.

Segala pengorbanan nenek moyang itu akan menjadi sia-sia jika kita membenarkan penjenayah sosial dan ekonomi pula menjajah kita dan menghancurkan negara ini pada masa sekarang.

Walaupun pelbagai kempen, tindakan dan hukuman dilaksanakan, namun masalah rasuah masih tidak dapat ditangani malah boleh dikatakan semakin memudaratkan.

Ironinya, perbuatan memberi mahupun menerima rasuah serta tindakan menyalahgunakan kuasa dan kedudukan banyak membabitkan aspek sikap dan tingkah laku individu.

Misalnya, dalam anggota masyarakat kita bukan semua orang memberikan suapan bagi mendapatkan sesuatu manfaat untuk dirinya.

Begitu juga bukan semua individu yang ada kuasa dan kedudukan menerima rasuah, melakukan penyelewengan mahupun menyalahgunakan kedudukan untuk meraih pendapatan tambahan. Ringkasnya, masih ramai yang mengamalkan nilai integriti yang tinggi.

Jadi, kita tidak boleh menggunakan pendekatan serta langkah yang biasa dan sama ke atas semua individu kerana ia tidak akan efektif serta memberi kesan diinginkan.

Malah silap hari bulan, apa yang kita buat itu tidak akan kena pada golongan sasar iaitu kelompok yang sering memberi dan menerima rasuah.

GAYA HIDUP

Justeru, perlu ada kaedah yang lebih berfokus seperti memberi penekanan terhadap aspek sains tingkah laku di mana unit tingkah laku kini merupakan keperluan bagi setiap kementerian, organisasi atau kerajaan terutama sekali dalam mengubah tingkah laku dan gaya hidup masyarakat, sekali gus melindungi sistem nilai dan sosial di negara ini.

Dalam konteks ini, kita perlu sedar sikap dan tingkah laku banyak dipengaruhi oleh faktor sekeliling terutama persekitaran bagaimana seseorang individu itu dibesarkan.

Ia berkaitan didikan atau asuhan yang diterima sejak kecil, pengaruh budaya kerja di organisasi khususnya rakan sekerja serta respons diri dalam mengimbangi tuntutan gaya hidup merangkumi soal pemilihan antara keperluan dan kemahuan.

Hakikatnya, bukan mudah untuk kita mengubah sesuatu sikap dan tingkah laku khususnya yang bersifat negatif dari diri seseorang itu dalam sekelip mata kerana ia mungkin sudah sebati serta menjadi amalan untuk suatu tempoh masa yang panjang.

Misalnya, bukan mudah untuk kita mengubah tingkah laku orang yang sudah terbiasa makan rasuah dan hidup bermewah.

Oleh kerana sudah terbiasa dan menjadi amalan rutin maka mereka beranggapan perbuatan menerima rasuah itu tidak salah sebaliknya diterima sebagai ‘rezeki’ tambahan.

Jadi, semua sistem sosial dan pentadbiran yang ada perlu bergabung idea dan tenaga untuk membaca, mengkaji serta memahami situasi, sikap dan tingkah laku yang mendorong seseorang sanggup memberi mahupun menerima rasuah.

Mudahnya, kita perlu menggunakan aplikasi sains tingkah laku yang sesuai dan strategik untuk mencegah rakyat kita terpalit dengan rasuah di samping untuk mengenal pasti dan mengubah sikap dan tingkah laku individu yang sudah berada dalam ‘dunia’ rasuah.

Ironinya, tiada guna kita mendabik dada dan berbangga kerana sudah bebas merdeka daripada penjajah jika masalah rasuah terus berleluasa sehingga pemberi dan penerima rasuah pula menjadi kuasa penjajah baharu.

Sedarlah, tiada bezanya penjajah asing dengan perasuah kerana kedua-duanya bertindak zalim, mementingkan diri dan merampas hak orang lain serta merugikan negara secara keseluruhannya.

Justeru, marilah kita memasang tekad untuk sekali lagi mengangkat ‘senjata’ dalam bentuk tindakan bersepadu bagi mempertahankan nilai moral rakyat dan ekonomi negara bagi membebaskan negara dan kali ini daripada penjajah yang menormalisasikan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

Kita sudah tidak boleh bersabar dan berkompromi lagi dengan kelompok ini yang semakin hari semakin rakus merompak hasil kekayaan rakyat dan negara. Ayuh, bebaskan negara daripada belenggu penjajahan rasuah.

Penafian : Tulisan ini adalah pandangan penulis dan tiada kaitan dengan pendirian rasmi SPRM.

Hit : 929