Kes-kes Menarik

Bekas pegawai kanan Pos Malaysia mengaku tidak bersalah terima rasuah RM248,000

AYER KEROH: Bekas Ketua Perancang Bahagian Pengurusan Pengangkutan Pos Malaysia Berhad dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas 26 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM248,000 selama setahun, bermula 2020 lalu.

 
Tertuduh, Hazri Mokhtar, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
 
Mengikut kesemua pertuduhan, tertuduh didakwa menerima suapan keseluruhan bernilai RM248,000 bagi membantu mempercepatkan bayaran oleh Pos Malaysia Bhd kepada sebuah syarikat logistik bagi kerja-kerja ‘outsourcing linehaul’ dan ‘shuttle services’ di Sabah dan Sarawak.
 
Kesemua suapan itu diterima menerusi transaksi atas talian ke dalam dua akaun bank miliknya di Bank Simpanan Nasional di Jalan Munshi Abdullah dan Maybank Melaka Main di Jalan Hang Tuah Melaka, antara 8 Julai 2020 hingga 11 Oktober 2021.
 
Justeru, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.
 
Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
 
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Irwanshah Abdul Samat mencadangkan jaminan sebanyak RM50,000 berserta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri ke pejabat SPRM Melaka sebulan sekali sepanjang kes berjalan.
 
Bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam Mohammad Amir Aizat Abd Rani merayu jumlah berkenaan dikurangkan memandangkan tertuduh telah berhenti kerja dan hanya melakukan kerja-kerja kampung dengan pendapatan RM800 sebulan.
 
Tertuduh juga mengidap sakit gout dan mempunyai masalah kesihatan selain perlu menyara ibu serta ayah mentua di kampung.
 
Sejurus mendengar hujahan kedua-dua pihak, Elesabet kemudian menetapkan jaminan RM35,000 dengan syarat isteri tertuduh sebagai penjamin selain  bersetuju dengan semua syarat tambahan yang dicadangkan.
 
Mahkamah turut menetapkan 2 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.


Hit : 595