Berita Menarik

Lima individu direman kemuka tuntutan palsu lebih RM27 juta

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman lima individu yang disyaki terlibat dalam kes mengemukakan tuntutan palsu berjumlah lebih RM27 juta bagi program latihan berkaitan teknologi digital.

Sumber berkata Majistret Mahkamah Putrajaya Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan permohonan reman selama tiga hari terhadap kesemua suspek yang berusia lingkungan 37 hingga 50 tahun, bermula hari ini sehingga Jumaat.

Menurut sumber, kelima-lima suspek termasuk seorang wanita itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya pada 8.30 malam tadi ketika hadir memberi keterangan.

“Suspek dipercayai terlibat dalam kesalahan mengemukakan tuntutan palsu bagi program latihan berkaitan teknologi digital kepada sebuah agensi kerajaan sedangkan latihan itu tidak dilaksanakan.

“Kes ini dipercayai melibatkan dua syarikat yang telah dibayar tuntutan masing-masing berjumlah RM19,599,682 dan RM7,581,878 bagi menjalankan program latihan dari 2016 hingga 2020,” katanya.

Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM Datuk Tan Kang Sai mengesahkan penahanan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009. - Bernama


Hit : 1590