Berita Terkini

Majlis Pelancaran Laman OKU Pendengaran serta Majlis MoU antara SPRM dan Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD)

PUTRAJAYA, 22 September – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama Persatuan Orang Pekak Malaysia (MFD) telah melancarkan Laman Orang Kurang Upaya (OKU) Pendengaran serta Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara SPRM dan MFD.

Majlis pelancaran ini telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali berlangsung di Pejabat MFD, Puchong sempena dengan Minggu Antarabangsa Orang Pekak yang diraikan setiap tahun pada minggu terakhir bulan September serta Hari Bahasa Isyarat Antarabangsa.

Dalam ucapannya beliau berkata, pendedahan dan kaedah meningkatkan pengetahuan orang awam mengenai isu rasuah harus dipergiatkan disamping memupuk sokongan dan penglibatan semua lapisan masyarakat, termasuklah daripada komuniti OKU pendengaran serta komuniti-komuniti OKU yang lain untuk tampil dan melaporkan isu-isu rasuah kepada SPRM.

SPRM berhasrat untuk melatih pegawai-pegawainya sebagai jurubahasa isyarat agar dapat menyebarluas mesej antirasuah kepada komuniti OKU pendengaran di seluruh Negara.

SPRM akan bekerjasama dengan Ahli Gabungan MFD di seluruh negara dan jurubahasa isyarat untuk membantu OKU pendengaran berkaitan pelaporan sebarang aduan rasuah atau maklumat rasuah di pejabat-pejabat SPRM. Perkara ini merupakan salah satu daripada skop kerjasama yang dibentuk antara SPRM dan MFD dan akan dimeterai melalui Memorandum Persefahaman.

Memorandum Persefahaman yang berkuatkuasa selama tiga tahun turut mengambil kira aspek kerahsiaan dan sebarang maklumat serta dokumen dan data yang disalurkan adalah dikategorikan sebagai RAHSIA.

Kerjasama yang terjalin ini adalah selaras dengan satu daripada empat Objektif Dasar OKU iaitu penerimaan prinsip bahawa OKU mempunyai hak dan peluang yang sama bagi penyertaan penuh dalam masyarakat.

Turut hadir Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Razim Mohd Noor serta Presiden MFD, Encik Mohamad Sazali Shaari.


Hit : 4303