Berita Pendidikan

Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Pejabat Pembangunan Negeri Kedah (ICU JPM)

ALOR SETAR, 20 September  – Pejabat Pembangunan Negeri (PPN) Kedah (ICU JPM) telah mengadakan Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dan Ceramah Anti Rasuah bertempat di Auditorium Bangunan Persekutuan Anak Bukit, Alor Setar.

Majlis ini dimulakan dengan ucapan Puan Zaiton binti Yahya, Pengarah PPN Kedah. Dalam ucapan beliau menyatakan bahawa Majlis IBR ini adalah sangat bertepatan dengan hasrat PPN Kedah dalam membendung isu rasuah dan salahguna kuasa serta meningkatkan tahap integriti dalam kalangan pengurusan tertinggi dan semua kakitangan PPN Kedah.

Majlis diteruskan dengan ucapan Dato’ Shaharom Nizam bin Abd Manap, Pengarah SPRM Kedah. Beliau menghargai usaha yang telah dilakukan oleh PPN Kedah sebagai sokongan padu kepada SPRM dan menerangkan tujuan dan kepentingan Lafaz IBR serta tindakan berterusan yang boleh dilaksanakan demi memastikan usaha pencegahan rasuah kekal berterusan di Negeri Jelapang Padi.

Ceramah “Nilai Integriti VS Minda Korupsi” telah disampaikan oleh PPs Mohd Azfar bin Johari, Pegawai Penmas SPRM Kedah kepada 150 orang kakitangan PPN Kedah yang hadir dalam majlis tersebut.

SPRM amat berharap Majlis IBR ini secara langsung dapat menyemai dan memupuk semangat bekerja di dalam suasana integriti yang tinggi di kalangan warga PPN Kedah dalam memerangi jenayah rasuah.


Hit : 2582