Berita Menarik

Rasuah: Dua pengarah syarikat, pembantu tadbir PTG direman tujuh hari

IPOH – Dua pengarah syarikat dan seorang penjawat awam wanita direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menerima rasuah berjumlah RM400,000.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Noor Hafiza Ishak ke atas dua pengarah syarikat dan pembantu tadbir di Pejabat Tanah dan Galian (PTG) berusia 30 hingga 50 tahun di Mahkamah Majistret di sini.

Majistret Noor Hafiza membenarkan permohonan SPRM untuk menahan reman ketiga-tiga suspek bermula hari ini hingga Selasa depan.

Tempoh reman itu dipohon bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat ke atas ketiga-tiga suspek mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Terdahulu, kesemua suspek tiba di pekarangan mahkamah menaiki dua kenderaan berasingan sekitar pukul 10.30 pagi dengan berpakaian lokap SPRM

Ketiga-tiga mereka ditahan di pejabat SPRM Perak semalam, sekitar pukul 6 petang ketika hadir memberi keterangan.

Difahamkan, kesemua mereka di tangkap kerana menerima wang rasuah berjumlah RM400,000 daripada seorang pemilik syarikat supaya mendapatkan kelulusan permohonan memiliki tanah kerajaan seluas 2.2 hektar di Daerah Kinta.

Sementara itu, Pengarah SPRM Perak, Datuk Mohd. Fauzi Mohamad ketika dihubungi mengesahkan kes berkenaan dan memberitahu siasatan lanjut sedang dijalankan.


Sumber : KOSMO! ONLINE


Hit : 1728