Kes-kes Menarik

Tuntutan palsu projek tebatan banjir, 6 ditahan

SHAH ALAM: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan enam individu termasuk empat wanita bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan tuntutan palsu bernilai hampir RM900,000 sekitar 2016 hingga tahun lalu.

Menurut sumber, keenam-enam suspek berusia antara 30 hingga 59 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Selangor sekitar jam 5 petang tadi ketika hadir memberi keterangan.

Katanya, tiga suspek adalah ketua pegawai operasi, pengarah dan akauntan sebuah syarikat pembinaan, dipercayai berpakat untuk meluluskan pembayaran kepada dua syarikat yang terbabit dalam kerja menaik taraf saliran dan projek tebatan banjir di Selangor sedangkan kerja berkenaan tidak dilaksanakan.

"Projek pertama iaitu kerja-kerja menaik taraf saliran membabitkan nilai lebih RM250,000 manakala projek tebatan banjir bernilai lebih RM600,000.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

"Semua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam pagi esok untuk permohonan reman," katanya.

Sumber : BERNAMA

Hit : 699