Berita Terkini

KBS komited ke arah pelaksanaan KIAR TVET

NILAI, 11 Sept - Bahagian Pendidikan Masyarakat, SPRM dengan kerjasama Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia, Kementerian Belia dan Sukan telah melaksanakan Pertukaran Nota Kerjasama Pelaksanaan Modul Kursus Integriti dan Antirasuah Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (KIAR TVET) bertempat di Aeon Nilai, Negeri Sembilan.

Program selama 2 hari ini telah dirasmikan oleh YB Dato’ Seri Ahmad Faizal bin Dato’ Azumu, Menteri Belia dan Sukan.

KBS mempunyai 22 institusi latihan TVET akan menjadi pelopor yang melaksanakan Modul KIAR TVET di institut mereka. Pelaksanaan Modul KIAR TVET merupakan satu keperluan kepada pelajar agar mereka menjadi tenaga kerja yang bukan sahaja berkemahiran tinggi, tetapi mempunyai jati diri dalam mencegah sebarang bentuk rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.

Program ini menjadi lakaran sejarah kerana KBS merupakan kementerian peringkat persekutuan yang pertama menzahirkan komitmen sebagai menyokong usaha SPRM dalam memerangi rasuah di negara ini.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Datuk Seri Norazlan bin Mohd Razali, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Razim bin Mohd Noor, Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Dato’ Jana Santhitan Muniayan, Ketua Setiausaha KBS, Encik Shahrul Affendi Baharuddin, Pengarah Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia KBS serta pegawai-pegawai SPRM.


Hit : 3858