Kolumnis@SPRM

Bila ketirisan kontrak kerajaan akan berakhir?


Dato Sri Akhbar Satar

Ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) dan Presiden Persatuan Pemeriksa Fraud Bertaulaih Cawangan Malaysia



PESAN motosikal, dapat basikal, bayar harga kereta. Ini di antara yang masih berlaku di dalam kontrak kerajaan apabila kegiatan rasuah berleluasa dalam kalangan pegawai kerajaan dan ahli politik yang bersekongkol dengan kontraktor dan termasuk kartel. Ternyata mereka tidak serik 'pakai' gelang besi dan baju oren serta seterusnya masuk di dalam jeriji besi. Perbuatan keji ini akan terus berlaku dan sukar diramal bila ia akan berakhir berdasarkan kepada perkembangan mutakhir.


Tahun lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tujuh individu dipercayai anggota sindiket memonopoli tender kementerian dan agensi kerajaan, termasuk ketuanya berusia 47 tahun, sekali gus dipercayai melumpuhkan kartel projek serta tender kerajaan dengan nilai projek dianggarkan RM3.8 bilion.


Kartel terbabit memonopoli 345 tender, mengawal lebih 150 syarikat daripada beberapa kementerian dan agensi kerajaan untuk memasuki tender atau sebut harga di seluruh negara serta dipercayai beroperasi sejak 2014.


SPRM menahan seorang juru ukur bahan agensi kerajaan dipercayai membocorkan maklumat spesifikasi projek kerja penyediaan Bill of Quantity (BQ) bagi memudahkan penyediaan dokumen tender.


Manipulasi tender di jabatan kerajaan sudah lama berlaku. Ketika pandemik dan darurat, banyak peraturan dilonggarkan. Paling merbahaya, kontrak diberikan melalui rundingan terus, jatuh pula kepada kartel yang mempunyai hubungan baik dengan orang dalam atau tali barut.


Kegiatan fraud atau penipuan hanya boleh berlaku apabila ada kerjasama di antara orang dalam dengan syarikat tertentu. Pegawai kerajaan dan ahli politik yang tidak amanah berkuasa meluluskan kontrak akan dikenalpasti kelemahannya. Sebagai manusia, ada yang lemah dengan harta, takhta atau wanita.


Sindikit, kartel atau kontrator akan memenuhi apa sahaja kehendak mereka. Apabila sudah terjerumus, maruah akan tergadai. Maklumat dan speksifikasi akan dibocorkan, malah sanggup memberikan kontrak kepada kartel atau kroni, sekali gus menerima rasuah kerana mahu hidup mewah.


SPRM mengenal pasti 16 bentuk penyelewengan yang kerap berlaku di dalam sistem perolehan membabitkan pegawai yang diberi amanah menguruskan perolehan dan perbekalan. 


Ini termasuk menerima komisen di antara 5 hingga 10 peratus berdasarkan nilai projek daripada syarikat yang berjaya. Ada maklumat dalaman mengatakan bahawa kartel boleh memberi rasuah kerana harga kontrak dinaikkan sehingga 30 peratus.


Maklumat ini sama seperti yang dinyatakan oleh Tan Sri Ambrin Buang mantan Ketua Audit Negara, lebih 30 peratus nilai projek sektor awam di Malaysia hilang akibat salah pengurusan dan rasuah. Bayangkan berapa banyak jumlah simpanan dapat digunakan ataupun projek baharu dapat dilaksanakan dengan efektif menggunakan jumlah yang hilang itu.


Orang dalam membocorkan maklumat, termasuk nilai kontrak supaya kartel atau kontraktor tertentu memenangi tender tertentu.


Modus operandi ini juga popular apabila ada pihak menciplak kertas cadangan yang dikemukakan oleh pihak lain yang kemudiannya memberikan kepada syarikat tertentu. Ia memberi implikasi buruk pada syarikat lain yang leibh layak.


Terdapat menteri yang korup dan pegawai tidak berintegriti menyokong dan dengan sengaja meminta syarikat tertentu masuk dengan sebut harga lebih tinggi. Ada yang mencipta sebut harga menggunakan kepala surat atau profil syarikat tertentu yang tidak tahu-menahu mengenainya. Ada juga yang berpakat dengan syarikat pembekal mendapatkan sebut harga lima syarikat lain sebagai syarat mematuhi peraturan. Mereka ini merosakan nama baik jabatan dan pihak lain yang berintegriti.


Walaupun Malaysia mengamalkan e-perolehan, akhirnya manusia juga yang menerima, memproses dan menentukan pihak mana yang akan berjaya mendapat kontrak. Di sinilah berlakunya manipulasi dan sabotaj supaya hanya syarikat kroni atau kartel disenarai pendek, termasuk syarikat dimiliki orang yang sama. Orang yang mempunyai hubungan yang baik dan mempunyai kepentingan dengan pembuat keputusan sering ditawarkan kontrak walaupun ada syarikat lain yang lebih layak dan wibawa.


Sepatutnya ketua jabatan bertanggungjawab dan semua kontrak ditawarkan kepada syarikat yang layak dan berwibawa sahaja. Usaha wajar atau “due diligence” komprehensif patut dilaksanakan, termasuk menyemak kembali dokumen kewangan dan mengesahkan keupayaan projek lalu sesebuah syarikat yang akan ditawarkan kontrak.


Apabila rasuah menjadi darah daging, tangan pula sudah diikat dan mulut sudah ditutup sehingga lemah dan menurut apa sahaja kehendak para kartel atau kontraktor yang terbabit. Mereka ini di pelihara oleh kontraktor tertentu sehingga takut mengambil tindakan yang betul.


Adakalanya kontraktor sendiri membawa kertas cadangan untuk dipertimbang dan dilaksanakan (contractor driven). Sudah tentu ahli politik dan pegawai awam yang tiada integriti mengambil peluang keemasan bertindak mencari peruntukan bagi menampung pembelian yang dicadangkan oleh kontrator walaupun tiada nilai ekonomi serta manfaat kepada jabatan atau masyarakat.


Sepatutnya sebelum sesuatu projek dilaksanakan atau peralatan dibeli, perlu ada keperluan dan perancangan, oleh sebab itu banyak projek yang telah siap tetapi menjadi gajah putih.


Yang paling sedihnya projek raksasa bernilai berbilion tidak siap sedangkan lebih separuh daripada bayaran dibuat melalui kaedah “time based” bukan “progress based”.


Sejak 2010, penulis beberapa kali mencadangkan semua pegawai di jabatan jabatan yang tinggi risikonya seperti bahagian kontrak dan kewangan perlu ditempatkan pegawai tinggi akhlak serta ditukar setiap tiga tahun. Tambahan lagi, pengawasan oleh pihak atasan hendaklah ditingkatkan supaya kebarangkalian berlakunya rasuah, penipuan dan ketirisan dapat dielakkan. 


Menteri bertanggungjawab juga perlu mempunyai nilai integriti tinggi dan tunjuk contoh yang baik. Setiap kelakuan salahlaku diketahui umum juga “sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga.


Sebagai pegawai awam, walaupun tidak boleh menolak campur tangan ahli politik namun mereka boleh melaksanakan hak mereka untuk mengabaikan arahan yang bertentangan dengan undang udang.


Mengikut SPRM, rasuah membabitkan ketirisan di dalam perolehan kerajaan dilihat semakin kritikal dan beliau mengatakan 50% kes membabitkan agensi kerajaan.


Amalan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan di dalam sistem perolehan boleh mendatangkan kesan negatif bukan sahaja kepada masyarakat selaku pengguna, bahkan juga kerugian dan ketirisan kepada kerajaan.


Ia boleh merugikan masyarakat jika peralatan, perkhidmatan atau projek yang sepatutnya siap, terbengkalai atau tidak wujud, sekali gus menggagalkan usaha kerajaan meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada masyarakat.


Rasuah boleh menjadi budaya dan mencetuskan rasa tidak puas hati serta hilang kepercayaan masyarakat terhadap kerajaan.


Pemeriksaan mengejut ke atas pelaksanaan projek wajar dilaksanakan bertepatan dengan konsep turun padang. Syarikat pembekal atau kontraktor gagal memenuhi syarat kontrak atau sebut harga wajib disenarai hitamkan serta diambil tindakan undang-undang atau beri kepada kontraktor lain.


Sebelum membuat bayaran kepada kontraktor, satu pasukan hendaklah membuat lawatan untuk mengesahkan status perlaksanaan projek.


Meskipun pihak berkuasa memperbaiki sistem dan prosedur berbanding satu dua dekad lalu, isu ketirisan masih mendapat perhatian, termasuk hasil Laporan Ketua Audit Negara.


Prosedur operasi standard (SOP) sistem pengurusan kewangan, terutama dari segi membezakan kuasa budi bicara selalu disalahgunakan perlu diteliti semula. Namun, semua prosedur hendaklah dipatuhi dan tiada pengecualian.


Justeru, ketua jabatan perlu lebih bertanggungjawab, berakauntibiliti dan peka terhadap perlakuan rasuah, salah guna kuasa serta penyelewengan.


Memperkenalkan peruntukan 'salah laku penjawat awam'(termasuk ahli politik) ke dalam Akta SPRM 2009 yang mengakibatkan kerugian wang besar ditanggung kerajaan. Kerajaan boleh merangka undang-undang untuk mengambil tindakan punitif terhadap pegawai yang sengaja menyebabkan ketirisan, pemborosan, pembaziran dana kerajaan dan tiada pengawasan.


Setiap perlaksanaan projek menggunakan sistem kawalan dalaman yang terbaikpun akan menjadi sia sia jika sekirnya pengendalinya tiada integriti.


Dalam hal ini, kerjasama orang ramai, pegawai awam dan ahli politik penting bagi membolehkan SPRM bertindak efektif. Jika setiap pegawai awam mempunyai etika kerja, berintegriti dan amanah dalam menjalankan tugas, ketirisan dapat diatasi. Bongkar dan lapor kegiatan rasuah kepada SPRM demi masa depan negara kerana rasuah adalah ibu segala kejahatan.

Penafian : Tulisan ini adalah pandangan penulis dan tiada kaitan dengan pendirian rasmi SPRM.

Hit : 740