Berita Menarik

6 kontraktor didakwa palsukan dokumen untuk dapat tender kantin sekolah

TAWAU: Enam kontraktor termasuk sepasang suami isteri, dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah, di sini, hari ini, atas pertuduhan memalsukan dokumen untuk mendapatkan tender menyewa dan menguruskan kantin sekolah rendah, lima tahun lalu.

Tertuduh, Masri Nulhadi, 45; isterinya, Asmah Moong, 42; Darwin Mohd Kembal, 32; Mohd Nasir Mohammad, 34; Abdul Jalil Mohd Hassan, 52; serta Mohd Hafiz Irawan, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan sebaik saja pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Mereka didakwa menggunakan dokumen palsu sebagai tulen untuk mendapatkan tender berkenaan bagi tempoh 1 Januari 2018 hingga 31 Disember 2019, di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Semporna antara 24 Oktober dan 1 November 2017.

Kesemua tertuduh masing-masing berdepan tiga pertuduhan, kecuali Mohd Hafiz yang didakwa dengan empat pertuduhan.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum bawah Seksyen 468 yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Rekhraj Singh, manakala kesemua tertuduh tiada diwakili peguam.

Hakim kemudian membenarkan kesemua tertuduh masing-masing diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin tempatan tetapi perlu membayar deposit RM5,000, kecuali Masri dan Asmah yang diperintahkan membayar deposit RM4,000.

Tertuduh juga dikenakan syarat tambahan, iaitu perlu melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cawangan Tawau sekali setiap dua bulan dan dilarang mengganggu saksi.

Mahkamah menetapkan 1 dan 2 Disember depan untuk serahan dokumen serta sebutan semula kes.


Hit : 2083