Berita Menarik

Ketua Pegawai Operasi didakwa terima suapan RM200,000

Shah Alam: Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Columbia Asia Healthcare Sdn Bhd, R Mahendran dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas dua pertuduhan meminta dan menerima suapan rasuah membabitkan broker pembelian tanah untuk membesarkan hospital.

Tertuduh berusia 52 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Tertuduh didakwa meminta suapan RM250,000 dan menerima suapan sebanyak RM200,000 daripada pemilik syarikat Pacifica Media Agency Sdn Bhd dan sebagai balasan melantik syarikat itu sebagai broker kepada Columbia Asia Sdn Bhd (CASB) menguruskan pembelian tanah di Cheras untuk pembesaran Columbia Asia Hospital Cheras.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Subang Jaya pada 23 Oktober 2019.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM70,000 dengan syarat tambahan perlu melaporkan diri setiap awal bulan di SPRM Putrajaya selain perlu menyerahkan pasport.

Sementara itu di mahkamah sama, bekas pengurus pembangunan projek CASB, Wong Soon Kee, 65, mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan meminta dan menerima suapan berjumlah RM90,090.

Tertuduh didakwa meminta suapan sebanyak 5 peratus bagi setiap nilai kontrak yang bakal diperoleh daripada CASB dan menerima suapan sebanyak RM90,090 daripada pemilik syarikat LKL Advance Metaltech Sdn. Bhd. sebagai balasan membantu syarikat itu memperoleh kerja pembekalan peralatan perubatan di Columbia Asia Sdn. Bhd.

Dia didakwa meminta rasuah di Subang Jaya, Selangor antara Januari hingga Jun 2016 manakala tertuduh menerima wang melalui bayaran pindahan dari akaun syarikat ke akaunnya pada 30 September 2016, 19 Mac 2018 dan 17 Januari 2020.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM40,000 dengan syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Aznika Mohd Anas Mahkamah menetapkan 4 Oktober depan untuk sebutan semula kedua-dua kes.


Hit : 2425