Kes-kes Menarik

Kerana 'hadiah' 5 cermin mata....

Seorang pembantu penguatkuasa dari sebuah agensi pihak berkuasa tempatan (PBT) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan, di sini, petang semalam.

Suspek dikatakan menerima cermin mata yang berharga lebih RM1,000 itu sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap sebuah premis kerana melanggar peraturan Akta Kerajaan Tempatan 1976, pada Ogos 2020.

Sumber berkata, suspek yang berusia 49 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Negeri Sembilan, di sini, jam 2.50 petang semalam sebelum direman selama tujuh hari sehingga 31 Ogos depan bagi membantu siasatan.

"SPRM menahan seorang pembantu penguatkuasa kerana disyaki menerima lima pasang cermin mata bernilai lebih RM1,000 daripada kedai cermin mata di sebuah daerah di Negeri Sembilan supaya premis itu tidak dikenakan tindakan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976.

"Majistret Intan Syafinaz Ros'lin membenarkan perintah reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 31 Ogos terhadap lelaki berusia 49 tahun itu di Mahkamah Majistret Seremban, pagi tadi," katanya.

Tambahnya, suspek yang diwakili peguam Mohd Redzuan Hakiim dipercayai melakukan perbuatan itu sekitar Ogos 2020 ketika berkhidmat di sebuah majlis daerah.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awangkok Ahmad Taufik Putra Awang Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki tersebut berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) ASPRM 2009.

Sumber : Harian Metro

Hit : 913