Berita Menarik

Sarjan polis tak mengaku salah 3 tuduhan rasuah

Butterworth: Seorang anggota polis berpangkat sarjan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah daripada dua individu yang terbabit dalam kes curi, tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Azlan Mohd Nor, 36 yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah bagaimana pun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, bapa kepada seorang anak itu didakwa secara rasuah meminta suapan masing-masing RM1,500 daripada dua lelaki berusia 36 tahun dan 45 tahun.

Suapan itu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap dua individu berkenaan yang dikatakan terbabit kes curi dalam bangunan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Bilik No 11, Jabatan Siasatan Jenayah IPD Seberang Perai Tengah, jam 5.40 petang pada 15 Julai tahun lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun, denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi.

Dalam pada itu, mengikut pertuduhan ketiga tertuduh turut didakwa menerima rasuah RM1,300 daripada salah seorang individu terbabit.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi sama kira-kira jam 6.25 petang, pada 8 Ogos tahun lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan berkenaan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azlan Basri, manakala tertuduh diwakili peguam Chandra Segaran.

Ketika prosiding, Chandra memohon mahkamah memberikan jaminan yang minimum dengan alasan anak guamnya perlu menanggung ibu bapa, isteri dan seorang anak.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin, selain tertuduh diminta menyerahkan dokumen perjalanan, melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan dan dilarang mengganggu saksi.

Kes disebut semula pada 26 September depan bagi serahan dokumen.

Sumber : Harian Metro

Hit : 2271