Berita Menarik

Subahat salah guna kedudukan: Suami isteri berdepan penjara 20 tahun, denda

SHAH ALAM: Pasangan suami isteri berdepan hukuman penjara 20 tahun apabila dituduh atas empat pertuduhan di Mahkamah Sesyen menyalahgunakan kedudukan dan bersubahat untuk melaksanakan kerja-kerja penilaian harta bagi pihak Majlis Perbandaran Klang (MPK) bernilai RM575,360 pada 2019 hingga 2020.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka yang berusia 48 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Pada prosiding pertama, Hazliza Md. Salleh menghadapi dua pertuduhan iaitu menyalahgunakan kedudukan sebagai Pengarah Penilaian dan Pengurusan Harta MPK mencadangkan pelantikan Syarikat Nilai Harta Consultant Sdn. Bhd. yang mana suaminya, Shahril Nizam Mokhtar mempunyai kepentingan di dalamnya.

Tawaran tersebut adalah untuk Kerja-Kerja Penilaian Kadaran Bagi Harta-Harta Khas (Klang Utara) semasa Mesyuarat Jawatankuasa Sebutharga Bil. 8 Tahun 2019 dan Fasa 4 Bagi Sebahagian Harta di Kawasan Operasi 2 yang mana nilai sebut harga masing-masing adalah RM251,000 dan RM324,360 dilakukan pada 3 Mei 2019 dan 19 Ogos 2020.

Bagi kedua-dua pertuduhan tersebut, Hazliza dituduh di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang mana sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Pada prosiding seterusnya, Shahril Nizam dituduh atas dua pertuduhan bersubahat bagi kesemua kesalahan tersebut di bawah Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 yang dibaca bersama Seksyen 23(1) dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman sama di bawah Seksyen 24(1).

Timbalan Pendakwa Raya, Noryusriza Zulkifli, kemudian menawarkan jaminan sebanyak RM30,000 kepada Hazliza dan RM30,000 kepada Shahril Nizam dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport antarabangsa dan lapor diri di pejabat SPRM berdekatan pada setiap awal bulan.

Bagaimanapun peguam, Selvanteran V. Segaran yang mewakili Hazliza merayu jaminan dikurangkan kerana tertuduh mempunyai empat orang anak dan seorang yang masih bersekolah rendah dan menjaga bapa yang sedang uzur.

“Tertuduh juga menghidap darah tinggi serta masalah jantung dan baharu menjalani pembedahan pintasan. Selain itu, anak guam sentiasa memberi kerjasama sejak disiasat SPRM pada 2020. Justeru saya mohon amaun jaminan yang munasabah,” katanya.

Selain itu, peguam Nurfatin Amirah Mohd. Shaari yang mewakili Shahril Nizam turut memohon pengurangan jaminan atas alasan pendapatan anak guamnya terjejas sejak pandemik Covid-19 dan beberapa tender syarikatnya sejak tahun lalu ditarik balik apabila disiasat SPRM.

“Anak guam bekerja sebagai ejen hartanah dan pendapatannya bergantung kepada komisyen, namun terjejas sejak pandemik. Malah, beberapa tender kepada syarikatnya turut ditarik balik. Justeru, saya mohon jaminan RM10,000,” jelasnya.

Hakim Rozilah kemudian memutuskan Hazliza dan Shahril Nizam masing-masing diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin yang berlainan serta mematuhi syarat tambahan sebelum menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 22 September depan. 

Sumber : UTUSAN


Hit : 2176