Kes-kes Menarik

Bekas Panglima TLDM didakwa pecah amanah dana syarikat perkapalan

KUALA LUMPUR: Seorang bekas Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan pecah amanah dana sebuah syarikat perkapalan berjumlah RM21.08 juta berkaitan perolehan projek pembinaan kapal tempur pesisir pantai (LCS).

Panglima (B) Tan Sri Ahmad Ramli Mohd. Nor, 78, sebentar tadi mengaku tidak bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dikemukakan di hadapan Hakim Suzana Hussain.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan, beliau yang juga bekas pengarah urusan Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS) didakwa pecah amanah dana syarikat perkapalan itu dengan meluluskan pembayaran mencecah RM21.08 juta tanpa kelulusan ahli lembaga pengarahnya.

Mahkamah membenarkan Ahmad Ramli dibebaskan dengan jaminan RM500,000 dan menetapkan kes itu disebut pada 24 November ini.

Skandal kepincangan projek perolehan LCS itu menarik perhatian ramai apabila Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dalam laporannya mendedahkan tiada kapal diterima setakat ini walhal TLDM sepatutnya menerima LCS pertama pada April 2019 setelah membuat bayaran RM6.083 bilion. – UTUSAN


Hit : 864