Kes-kes Menarik

Bekas pengarah, pegawai kanan buat tuntutan palsu ditahan

Kota Kinabalu: Bekas pengarah dan pegawai kanan agensi kerajaan ditahan kerana dipercayai mengemukakan tuntutan palsu bernilai lebih RM175,000 dan meminta wang suapan berjumlah hampir RM60,000 daripada kontraktor, hari ini.

Sumber berkata, kedua-dua lelaki berusia 44 hingga 50 tahun itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini, pada 12.30 tengah hari.

Menurutnya, mereka dipercayai menggunakan lesen beberapa syarikat bagi melakukan tuntutan palsu berhubung kerja-kerja pembekalan makanan dan minuman berjumlah lebih RM175,000.

"Bagaimanapun, tiada pembekalan mahupun program dilaksanakan oleh pihak terbabit dan bekas pengarah terbabit juga dipercayai menerima bayaran secara bulanan lebih RM60,000 daripada seorang kontraktor dalam tempoh 2017 hingga 2019," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) dan 18 Akta SPRM 2009 .

Menurutnya, tangkapan itu adalah hasil kerjasama di antara SPRM Sabah dan Unit Integriti agensi kerajaan berkenaan.

"Kedua-dua suspek terbabit akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, Sabah, esok untuk permohonan reman," katanya.

Sumber : Harian Metro

Hit : 1071