Kolumnis@SPRM

Pilih pemimpin sebab akhlak, bukan karisma


Oleh
Dr Nik Roskiman Abdul Samad
Felow Kanan, Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang & Sains Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

SESEORANG dipilih sebagai pemimpin kebiasaannya kerana masyarakat melihatnya memiliki karisma tertentu. Karisma berasal daripada kalimah bahasa Inggeris, charisma bermaksud kemampuan menarik orang lain dan memberi inspirasi atau compelling attractiveness or charm that can inspire devotion in others. Karisma walaupun penting dari satu segi kerana ia menampilkan imej yang baik dan positif sebagai pemimpin masyarakat, namun yang lebih utama daripada karisma seseorang ialah integritinya.

Karisma lebih kepada penzahiran bakat atau kebolehan semula jadi seseorang sama ada wujud sejak dilahirkan atau melalui latihan-latihan tertentu. Untuk menampakkan kepada masyarakat mempunyai karisma sebagai pemimpin, tokoh-tokoh politik tertentu biasanya sanggup membayar jumlah bayaran yang tinggi kepada pihak profesional atau dipanggil perunding imej. Tujuannya agar dapat membina imej yang baik di mata masyarakat supaya memilih mereka sebagai pemimpin. Karisma hanyalah persepsi masyarakat terhadap individu tertentu dan ia tidak menggambarkan peribadi sebenarnya.

Dalam memilih pemimpin, Islam tidak menganjurkan melihat kepada karisma sebaliknya peribadi seseorang. Peribadi atau akhlak merupakan aspek terpenting dalam memilih pemimpin kerana ia mencerminkan nilai sebenar yang dipegang dan bukannya kualiti luaran seseorang. Antara akhlak yang dilihat pada seseorang khususnya pemimpin ialah memiliki sifat amanah.

Amanah merupakan salah satu sifat penting dalam hidup. Lebih-lebih lagi apabila individu berkenaan memegang jawatan tinggi dalam pekerjaan atau kerajaan. Sebab itulah kriteria amanah atau al-amin ini disebut dalam al-Quran sebagai salah satu kriteria utama dalam memilih pekerja. Allah SWT menyebut dalam al-Quran berhubung kisah bagaimana anak Nabi Syuaib mencadangkan kepada ayahandanya agar mengambil lelaki (Nabi Musa a.s) bekerja dengan mereka kerana katanya Nabi Musa memiliki dua sifat utama bagi seorang pekerja iaitu al-Qawiy (gagah/kuat) dan al-Amin (amanah). “Dan salah seorang daripada kedua-dua (perempuan) itu berkata, “Wahai ayahku! Jadikanlah dia sebagai pekerja (pada kita), sesungguhnya orang yang paling baik yang engkau ambil sebagai pekerja (pada kita) ialah orang yang kuat dan dapat dipercayai.” (Surah al-Qasas: 26)

Hari ini, kedua-dua aspek itu diulas dan dikembangkan lagi oleh pakar-pakar motivasi dan kepimpinan moden sesuai dengan zaman kontemporari kepada konsep yang disebut kemahiran teknikal (hard skill) dan kemahiran insaniah (soft skill). Al-Qawiy (hard skill) merujuk kepada kebolehan fizikal seseorang atau kemahiran dimiliki. Adapun al-Amin (soft skill) merujuk kepada kualiti peribadi seseorang, iaitu amanah. Rencana ini ingin memfokuskan kepada aspek al-Amin atau amanah kerana di situlah punca kerosakan dan kehancuran dalam masyarakat kita seperti mana terlihat kepada berleluasanya kes rasuah, salah guna kuasa dan hilang integriti individu hari ini. Dari segi ilmu, kemahiran dan kepakaran, kita tidak mempunyai banyak masalah tetapi apabila sampai kepada persoalan integriti individu, di situ kita sering kecewa.

PUASA

Jika kita mengimbau al-Amin ini sebenarnya gelaran yang diberikan oleh masyarakat jahiliah kepada baginda SAW sebelum dilantik menjadi rasul lagi. Betapa masyarakat pada masa itu begitu yakin dan percaya kepada kejujuran dan amanah baginda dalam setiap perkara. Mereka percaya kepada baginda untuk menjadi pendamai atau hakim dalam perselisihan atau perbalahan. Mereka percaya kepada baginda untuk menjaga harta benda jika bermusafir keluar dari kota Mekah. Begitulah amanahnya baginda SAW.

Kita baru melepasi bulan Ramadan, bulan yang sebenarnya melatih diri kita agar menjadi amanah dalam hidup. Mengapakah dikatakan bulan amanah? Kerana dalam bulan ini kita sebenarnya boleh makan dan minum dan lakukan apa sahaja di belakang orang, tanpa diketahui sesiapapun tetapi kita tidak lakukan semua itu kerana kita tahu ia akan membatalkan puasa walaupun yang akan menghukum bukannya manusia tetapi di sisi Allah SWT. Kita menjadi orang yang amanah kerana sedar walaupun tiada orang melihat tetapi Allah SWT sentiasa melihat. Pada bulan puasa, kita begitu amanah sehingga kita tidak akan berbuka selagi tidak yakin masuk waktu Maghrib.

Al-Amin yang juga membawa maksud amanah sebenarnya berasal daripada kalimah Arab yang sama iaitu alif-mim-nun juga membawa maksud ‘aman’ iaitu selamat. Apakah yang aman dan selamat? Selamat harta benda, selamat tubuh badan, selamat maruah, bahkan selamat serba-serbi. Malangnya, hari ini amanah yang diberikan kepada sesetengah pemimpin, ahli politik, penjawat awam, swasta atau individu tertentu agar selamat harta benda, wang rakyat telah dikhianati. Rasuah sudah menjadi meluas dan merata semacam penyakit Covid-19. Dari sekecil-kecil pangkat individu kepada sebesar-besar, mereka tiada integriti.

Masyarakat kita gemar menggunakan istilah ‘integriti’ yang sebenarnya berasal daripada kalimah Inggeris, integrity. Integriti hanyalah sekadar istilah baharu diguna pakai, bukanlah konsep yang luar biasa atau kompleks. Sejak lebih 1,400 tahun dahulu lagi Islam sudah menekankan tentang integriti walaupun tidak dipanggil integriti tetapi dipanggil amanah. Nabi Muhammad SAW diutus dengan salah satu sifat amanah selain siddiq, tabligh dan fatanah. Benar, integriti bukan sekadar amanah, ia merangkumi juga nilai-nila murni lain tetapi yang utamanya adalah amanah.

Penafian : Tulisan ini adalah pandangan penulis dan tiada kaitan dengan pendirian rasmi SPRM.

Hit : 8912