Berita Menarik

Pengurus mengaku tak bersalah cuba rasuah RM3,000

Seorang pengurus syarikat pembekal daging sejuk beku tidak halal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan cuba merasuah Ketua Jabatan Penguatkuasaan, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) pada 28 Februari lalu.

Tertuduh, Ma Jian Yet, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Berdasarkan kertas pertuduhan, bapa kepada dua anak itu didakwa cuba merasuah Ketua Jabatan Penguatkuasaan MBIP, Raja Abu Bakar Raja Yahya sebanyak RM3,000 pada pukul 11.30 pagi, 28 Februari lalu.

Suapan berkenaan didakwa dibuat sebagai dorongan supaya pegawai berkenaan tidak mengambil tindakan ke atas Syarikat Yean Yean kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen dan gagal mematuhi Notis Memberhentikan Aktiviti Perniagaan dan Menjaja Tanpa Lesen daripada MBIP.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.

Peguam tertuduh, Chuah Shyue Chien memberitahu, tertuduh bekerja di syarikat milik bapanya dan menanggung seorang isteri yang tidak bekerja, dua anak kecil dan ibu bapa yang sudah uzur.

“Tertuduh juga memberikan kerjasama yang baik kepada SPRM dan pegawai penyiasat serta tidak pernah gagal melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan, selain hadir secara sukarela untuk didakwa,” katanya yang memohon jumlah jaminan minimum dikenakan terhadap anak guannya.

Ahmad Kamal Arifin kemudian memerintahkan tertuduh dibebaskan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin warga tempatan. Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Dayang Masneh Deh. Mahkamah menetepkan 28 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes tersebut. – UTUSAN


Hit : 1694