Berita Menarik

Pengarah LKIM Selangor didakwa terima rasuah

SHAH ALAM: Seorang pengarah sebuah agensi kerajaan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menerima suapan berjumlah RM5,000, dua tahun lalu.

Tertuduh Khusairi Husain, 56, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Muhamad Anas Mahadzir.

Mengikut kertas pertuduhan, Khusairi sebagai pengarah di Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Selangor telah menerima untuk dirinya suatu barang berharga dengan tiada balasan iaitu wang tunai berjumlah RM5,000 daripada seorang pengurus besar sebuah badan berkanun cawangan Klang yang mana tertuduh ketahui ia ada kena-mengena dengan tugas rasminya

Justeru tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut seksyen yang sama.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya.

Khusairi didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Persatuan Nelayan Kawasan Sungai Besar, Sabak Bernam pada 24 November 2020.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Irna Julieza Maaras menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada Mahkamah sehingga kes selesai dan melaporkan diri di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada setiap satu hari bulan.

Tertuduh yang diwakili Peguam Noor Adzrie Mohd Noor memohon wang jaminan dikurangkan kerana Khusairi adalah penanggung tunggal keluarga yang mana tiga daripada empat anaknya masih belajar.

Katanya, jumlah jaminan RM10,000 juga terlalu tinggi dan tidak berpadanan dengan jumlah rasuah yang diambil.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 22 Ogos depan.

Sumber : Harian Metro

Hit : 1917