Kes-kes Menarik

Inspektor polis dituduh terima suapan

Tawau: Pegawai polis berpangkat Inspektor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini, hari ini, atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM41,000, lima tahun lalu.

Tertuduh, Saharulzaman Alizaman, 38, yang bertugas sebagai Inspektor di Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Saharulzaman didakwa secara rasuah meminta suapan untuk dirinya berjumlah RM20,000 daripada seorang individu berusia 26 tahun di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Lahad Datu, antara jam 1.15 tengah hari hingga 4 petang pada 16 Ogos 2017.

Ia sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap individu berkenaan yang menjalankan perniagaan pinjaman wang tanpa lesen, iaitu kesalahan di bawah Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.

Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) Akta yang sama dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh pada tarikh, masa dan lokasi sama didakwa telah secara rasuah meminta suatu suapan untuk dirinya berjumlah RM4,000 daripada individu sama iaitu sebagai wang perlindungan bagi melindungi perniagaan pinjaman wang tanpa lesen milik individu terbabit.

Atas perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) ASPRM 2009.

Bagi pertuduhan ketiga pula, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 atas kesalahan rasuah iaitu memperoleh suatu suapan berjumlah RM17,000 daripada individu sama, di dalam sebuah Perodua Alza, di kawasan Double Bay, bandar Lahad Datu, antara jam 3.09 petang hingga 4 petang, pada 16 Ogos 2017.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Sabah, Nurul Izzati Sapifie menawarkan wang jaminan sebanyak RM20,000 untuk ketiga-tiga pertuduhan dengan seorang penjamin tempatan serta beberapa syarat tambahan iaitu pasport tertuduh diserah kepada mahkamah, tertuduh dikehendaki lapor sebulan sekali di pejabat SPRM terdekat selain dilarang mengganggu saksi.

Bagaimanapun, peguam Mohamed Zairi Zainal Abidin yang mewakili tertuduh (secara zoom) memohon wang jaminan yang wajar mengambil kira faktor pendapatan anak guamnya sebanyak RM3,500 sebulan selain perlu menjaga ibu dan bapa yang uzur.

Menurut Mohamed Zairi, anak guamnya kini bertugas di Pasukan Gerakan Am (PGA) Beluran dipertanggungjawabkan untuk mengurus bapa yang mempunyai penyakit buang pinggang kronik serta memerlukan rawatan dialisis sebanyak tiga kali seminggu.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin kepada mahkamah selain syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan dan menetapkan 9 September depan sebagai sebutan semula kes.

Sumber : Harian Metro

Hit : 643