Berita Menarik

SPRM serbu syarikat 'Datuk Seri' urus pengambilan warga Bangladesh

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu syarikat milik seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' yang dipercayai terbabit dalam pemprosesan visa dan pengambilan pekerja asing dari Bangladesh.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya sudah memanggil ahli perniagaan terbabit pada Isnin lalu bagi menjalankan siasatan.

"Setakat ini saya sahkan kita sedang menjalankan siasatan berhubung syarikat itu yang mengendalikan pengambilan pekerja asing dari Bangladesh, serta terbabit dalam membangunkan satu sistem pendaftaran pekerja asing.

"Pada masa ini, tiada tangkapan dilakukan dan kita akan memanggil mana-mana individu yang mempunyai kaitan dengan siasatan kita dalam masa terdekat," katanya ketika dihubungi BH semalam.

Berdasarkan maklumat, tindakan SPRM itu mempunyai kaitan dengan kelulusan diberikan Kementerian Sumber Manusia kepada 25 syarikat untuk mengambil pekerja dari Bangladesh, yang mana ahli perniagaan terbabit dikatakan mengawal majoriti agensi Bangladesh yang baru-baru ini dipilih untuk pengambilan pekerja asing di sana.

Tindakan itu mengundang bantahan dalam kalangan badan bukan kerajaan (NGO) dan ahli politik susulan kegiatan terbabit yang dilihat berunsurkan monopoli, selain pekerja asing yang ingin bekerja dikenakan bayaran terlalu tinggi sehingga mencecah puluhan ribu ringgit.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan ketika memberi maklum balas mengenai tindakan itu berkata, ia bagi mengelak amalan monopoli serta menjaga kebajikan dan mata pencarian pekerja berkenaan.

Mengulas siasatan pihaknya, Azam Baki berkata, ia menjurus kepada unsur rasuah berhubung pendaftaran dan kelulusan kemasukan pekerja asing membabitkan beberapa individu dalam proses sistem pendaftaran yang dibangunkan.

Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenai pembabitan beberapa individu yang berada dalam radar siasatan suruhanjaya berkenaan.

Terdahulu, satu laporan media di Bangladesh 'The Business Post' menyatakan SPRM menyerbu syarikat berkenaan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur, namun belum ada sebarang tangkapan dilakukan.

Sumber : Berita Harian


Hit : 1942