Berita Menarik

Pembantu penguat kuasa JPJ didakwa rasuah

MELAKA - Seorang pembantu penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, pada Selasa atas pertuduhan menerima suapan berjumlah RM8,500.

Tertuduh, Ahmad Jamil Md Saru, 40, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Elesebet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan pertama hingga 10, tertuduh sebagai penjawat awam iaitu Pembantu Penguat Kuasa Kanan JPJ Gred KP22 didakwa secara rasuah memperoleh suapan berjumlah RM500 setiap bulan daripada Pengurus Syarikat Sivan Sakthi Maju Enterprise P Vijayan.

Tertuduh mengetahui bahawa individu terbabit mempunyai hubungan dengan kerja rasminya.

Ia sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap lori-lori milik syarikat pengangkutan itu di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di Maybank Taman Debunga Merlimau, Jasin antara 28 April 2020 hingga 31 Mac 2021.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Tertuduh turut didakwa dengan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM3,500 bagi tujuan sama di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Kesalahan itu dilakukan di Maybank Melaka Raya atara 28 April 2020 hingga 12 Mac 2021.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Irwan Shah Abdul Samat yang mencadangkan jaminan RM4,500 dengan seorang penjamin selain memohon agar pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jumlah jaminan dikenakan dikurangkan dengan alasan menyara isteri dan dua orang anak termasuk seorang orang kurang upaya (OKU).

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,500 dan menetapkan tarikh sebutan kes pada 15 September depan beserta syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM Melaka setiap bulan.


Hit : 1932