Kolumnis@SPRM

Agama senjata ampuh perangi rasuah

Oleh 

Dr Muhammad Hafiz Badarulzaman

Ketua Unit Penyelidikan Shariah dan Undang-Undang Perniagaan Islam (SHURA)

Pusat Pengajian Undang-Undang, Universiti Utara Malaysia (UUM)


Integriti boleh difahami sebagai kejujuran dan ketulusan daripada sebarang bentuk penyelewengan. Seseorang yang mempunyai integriti mampu membezakan antara perbuatan baik dengan buruk dan tindakan benar dengan salah serta membandingkan antara perkara halal dengan haram.


Ini kerana sesebuah negara akan runtuh dan musnah jika segenap lapisan masyarakat hidup tidak berintegriti dan terbabit dalam salah guna kuasa serta jenayah rasuah.


Justeru, Islam mengharamkan jenayah rasuah dan cara hidup tidak berintegriti.


Firman Allah SWT: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan salah dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian daripada harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).” (Al-Baqarah: 188)


Abdullah IbnuAmru RA meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: Allah melaknat ke atas pemberi dan penerima rasuah. (Hadis riwayat Abu Daud, Tirmizi dan Ibnu Majah)


Thauban RA meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: “Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah, penerima rasuah dan perantara yang bersifat penghubung antara kedua-duanya.” (HR Ahmad)


Jejas reputasi negara


Rasuah boleh merebak dan integriti boleh hilang dalam segenap lapisan masyarakat di sesebuah negara jika ahli politik menjadi korup dan terbabit dalam rasuah serta politik wang.


Pada masa sama, ahli politik berkhidmat dalam pentadbiran sesebuah negara mempergunakan kedudukannya untuk menyalah guna kuasa sehingga berleluasanya korupsi.


Begitu juga, pemilihan dalam parti dicemari dengan politik wang mampu menjadikan isu rasuah dan integriti semakin membarah di negara ini yang pastinya akan terpalit kepada masyarakat.


Selain itu, entiti lain yang penting dalam sesebuah negara ialah penjawat awam. Hakikatnya, golongan itu bukan sahaja perlu bertindak sebagai profesional, bahkan dilihat sebagai anggota kerajaan yang mengungguli profesionalisme.


Justeru, apabila hilangnya integriti dan amanah, penjawat awam berkenaan akan berkhidmat untuk mencari keuntungan peribadi ibarat kata pepatah asal berisi tembolok, senang hati.


Kelompok seperti ahli perniagaan juga tidak terkecuali. Mereka berperanan membangunkan ekonomi negara, jika menggunakan rasuah sebagai imbuhan untuk mendapatkan projek, mampu meruntuhkan integriti dan menjejaskan reputasi negara.


Ahli agama pula jika sibuk dengan urusan duniawi pasti melebarkan lagi jurang kefahaman integriti dan rasuah dalam kalangan masyarakat.

Jika perkembangan ini berlaku maka akan muncul tuduhan ilmuwan agama sekadar menjadi penunggang agama.


Istilah penunggang agama ini boleh disensasikan atau memberi imej buruk apabila kelompok ini gemar mengkomersialkan agama dengan produk yang tidak patuh etika dan integriti bersandarkan syariah.


Pegawai penguatkuasa yang tidak berintegriti pula dikhuatiri sekadar berpeluk tubuh dan memejamkan mata apabila berdepan dengan penyelewengan atau ketirisan.


Akibat menerima sogokan atau habuan, ada pegawai yang tidak menguatkuasakan undang-undang dengan mengemukakan pelbagai sebab dan alasan.


Masyarakat terima kesan


Semuanya berpunca apabila gejala rasuah terus berkembang dalam perkhidmatan, jabatan dan agensi sehingga hilang integriti mereka dalam menjalankan amanah.


Akibat rasuah dan korupsi, masyarakat juga akan menerima kesan secara langsung atau tidak langsung.


Rasuah dan penyelewengan akan menekan masyarakat dengan dengan pelbagai dasar dan perancangan cacamarba oleh pihak pemerintah sehingga menjejaskan kehidupan mereka.


Lebih parah lagi jika amalan rasuah yang berleluasa memberi kesan kepada golongan muda selaku generasi pemimpin masa depan.


Golongan berkenaan berisiko hilang arah dalam kehidupan kerana terpengaruh dengan amalan rasuah yang mungkin dianggap normal dalam kehidupan, pekerjaan dan pentadbiran.


Generasi masa depan ini akan mewarisi amalan rasuah daripada orang lama dan akhirnya mereka tiada lagi contoh dan suri teladan positif dalam perkhidmatan atau setiap urusan.


Mesej moralnya mudah, iaitu berkembangnya rasuah dan hilangnya integriti menyebabkan negara runtuh, kerajaan lumpuh, perniagaan tidak utuh dan kesatuan rakyat tidak lagi ampuh.


Agama jadi benteng ampuh


Dalam mendepani cabaran atau kemungkinan ini, masyarakat perlu berpegang teguh kepada ajaran Islam. Integriti yang merangkumi aspek ikhlas dan jujur perlu terus dijulang serta dipertahankan.


Benteng paling ampuh menegakkan integriti dan amanah ialah dengan benar-benar memahami serta berpegang teguh kepada ajaran agama.


Firman Allah SWT: “Wahai orang beriman! Janganlah mengkhianati Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu mengkhianati amanah (yang diamanahkan kepada) kamu sedang kamu mengetahuinya.” (Al-Anfal: 27)


Hidup dalam masyarakat pula, setiap individu perlu mengamalkan konsep tegur-menegur demi kebaikan kerana ia dapat mengundang rahmat Allah SWT.


Tamim ad-Dariy RA meriwayatkan Nabi SAW bersabda: “Agama itu ialah nasihat.” Kami bertanya: “Nasihat bagi siapa, wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Bagi Allah, bagi Kitab-Nya, bagi Rasul-Nya, bagi pemimpin Muslimin dan bagi orang ramai.” (HR Muslim)


Dalam hadis riwayat Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda bermaksud: “Apabila amanah disia-siakan, maka tunggu datangnya kiamat.” Lalu ada bertanya, “Bagaimana amanah itu disia-siakan?” Maka, Baginda menjawab: “Apabila suatu urusan diserahkan kepada bukan ahlinya, maka tunggulah kiamat.” (HR Bukhari)

Penafian : Tulisan ini adalah pandangan penulis dan tiada kaitan dengan pendirian rasmi SPRM.

Hit : 7060