Kes-kes Menarik

Jurutera didakwa terima suapan bernilai RM220,000

KUALA LUMPUR – Jurutera sebuah jabatan kerajaan menghadapi lima pertuduhan rasuah bernilai RM220,000 antara tahun 2019 hingga 2021 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, jurutera didakwa mendapat suapan bernilai RM90,000 bersama seorang wanita dalam pada 30 Disember 2020.

Kedua-dua tertuduh adalah Izwan Mahsuri, 39 dan Norsiah Mohd Anuar, 30 mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan hari ini di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Mengikut pertuduhan pertama, mereka secara bersama telah menerima satu suapan bernilai RM50,000 daripada Mohd Rozlan Mohd Sidek untuk mencadangkan pelantikan syarikat Lega Kiara Enterprise sebagai sub kontraktor kepada Pintas Utama Sdn Bhd.

Ia bagi pelaksanaan kerja pencegahan cerun di Laluan FT1 185 Seksyen 101. 807 Jalan Blue Valley – Gua Musang berjumlah RM2.14 juta.

Pertuduhan kedua pula, pada hari dan tempat yang sama, mereka menerima satu rasuah bernilai RM40,000 daripada Wan Mohd Zamei Wan Mahmud melalui Mohd Rozlan Mohd Sidek.

Suapan diterima bagi cadangan pelantikkan syarikat Lega Kiara Enterprise sebagai sub kontraktor kepada Pintas Utama Sdn Bhd. bagi kerja-kerja pencegahan cerun di Laluan FT1 185 Seksyen 101. 002 Jalan Blue Valley – Gua Musang berjumlah RM1.3 juta.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 16(a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (AKTA 694) bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum dibawah Seksyen 24 Akta 694.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun, denda tidak kurang daripada 5 kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Diana Nor Azwa menawarkan jaminan kepada kedua-dua tertuduh sebanyak RM30,000.

Selepas mendengar permohonan peguam, Mohd Azali Ibrahim mewakili anak guamnya, Izwan, mahkamah membenarkan tertuduh pertama diikat jamin sebanyak RM10,000 manakala tertuduh kedua, RM5,000.

Mahkamah turut meletakkan syarat kepada tertuduh untuk melaporkan diri setiap sekali sebulan ke pejabat SPRM, pasport perlu diserahkan serta nama disenarai hitam untuk ke luar negara.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 8 Ogos 2022.

Dalam pertuduhan berasingan, di hadapan Hakim Suzana Hussin, Izwan juga mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas tiga pertuduhan suapan lebih RM130,000 dari tahun 2019 hingga 2021.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa menerima suapan sebanyak 7 peratus daripada nilai kerja- kerja projek penyelanggaraan cerun bagi Jalan Persekutuan dan Jalan Negeri di Semenanjung Malaysia.

Kesalahan itu sebagai dorongan melantik syarikat Lega Kiara Enterprise sebagai sub kontraktor Pintas Utama Sdn Bhd daripada Mohd Rozlan Mohd Sidek pada tahun 2019.

Selain itu, tertuduh turut didakwa menerima rasuah bernilai RM100,000 pada 2020 dan RM30,000 pada 2021 daripada individu yang sama atas cadangan pelantikkan syarikat Lega Kiara Enterprise sebagai sub kontraktor kepada Pintas Utama Sdn Bhd.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Diana Nor Azea menawarkan jaminan RM30,000 kepada tertuduh.

Bagaimanapun, selepas mendengar permohonan peguam, Mohd Azali Ibrahim, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM25,000 dengan seorang penjamin dan kes disebut semula pada 8 Ogos depan.

Sumber : Malaysiagazette

Hit : 1122