Berita Menarik

Penolong akauntan Majlis Daerah Marang didakwa salah guna kuasa

KUALA TERENGGANU: Seorang penolong akauntan kanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyalahguna kuasa dengan mencadangkan sebut harga pemasangan karpet bernilai RM10,640 kepada syarikat suaminya, tahun lalu.

Tertuduh, Sazawati Salleh, 49, yang berkhidmat di Majlis Daerah Marang (MDM) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali.

Berdasarkan pertuduhan, sebut harga itu berhubung kerja-kerja memasang karpet di ruang pejabat dan bilik Pegawai Bahagian Kewangan MDM.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di Bahagian Kewangan MDM pada 12 Januari 2021.

Sazawati didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh manakala tertuduh pula diwakili peguam, Muhammad Husni Mubarak Ghazali.

Mahkamah menetapkan 17 Julai depan untuk sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin di samping perlu melapor ke pejabat SPRM setiap bulan serta menyerahkan pasport antarabangsa.

Sumber – UTUSAN

Hit : 2184