Berita Menarik

Suami isteri direman 6 hari kes rasuah lebih RM600,000 berkait GLC

PUTRAJAYA: Sepasang suami isteri direman enam hari, bermula hari ini, bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima suapan lebih RM600,000 berhubung kerja pelantikan syarikat pengangkutan untuk sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Majistret Shah Wira Abdul Halim membenarkan kedua-dua suspek berusia 50-an dan 40-an itu direman hingga 10 Jun ini selepas mendengar permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pagi tadi.

Sumber berkata, pasangan itu ditahan di rumah mereka di Petaling Jaya, Selangor, kira-kira jam 7 malam tadi.

Katanya, suspek lelaki yang berkhidmat sebagai eksekutif kanan di sebuah GLC disyaki meminta 'habuan bulanan' kira-kira RM20,000 sebagai balasan melantik sebuah syarikat pengangkutan bagi penghantaran produk berasaskan minyak ke seluruh negara untuk tempoh antara Julai 2019 hingga April 2022.

Difahamkan, isteri suspek turut ditahan kerana dipercayai bersubahat dengan suaminya untuk meminta dan menerima suapan bagi pihak lelaki itu.

"Isteri suspek juga dipercayai mempunyai kawalan ke atas kad debit milik syarikat pengangkutan berkenaan, dan pemilik syarikat itu terbabit dalam urusan rasmi dengan suami suspek," katanya.

Menurut sumber itu lagi, eksekutif kanan terbabit sudah digantung tugas di syarikat berkenaan.

Sementara itu Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim, mengesahkan penahanan pasangan suami isteri terbabit.

Beliau berkata, kedua-dua mereka ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Sumber : Berita Harian

Hit : 1963