Berita Menarik

Tiga petugas hospital direman kes rasuah pengurusan mayat

Shah Alam: Tiga lagi individu direman lima hari bermula hari ini bagi siasatan kes meminta dan menerima suapan antara RM1,000 hingga RM4,000 setiap seorang untuk urusan berkaitan kerja pengurusan jenazah.

Perintah tahanan reman sehingga 4 Jun itu dikeluarkan Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman selepas menerima permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Semalam, empat individu yang bertugas sebagai penolong pegawai perubatan dan pembantu kesihatan berusia antara 35 hingga 41 tahun ditahan di Pejabat SPRM Selangor ketika hadir memberi keterangan berkaitan kes itu.

Bagaimanapun hanya tiga suspek direman dan seorang lagi suspek iaitu penolong pegawai perubatan berusia 41 tahun dilepaskan dengan jaminan SPRM atas faktor kesihatan.

Menurut sumber, kesemua mereka yang berkhidmat di sebuah hospital di Selangor dipercayai telah meminta dan menerima wang suapan sebanyak RM300 bagi setiap pengurusan jenazah daripada individu tertentu sebagai balasan untuk pihak berkenaan terus mendapatkan kerja-kerja pengurusan jenazah bagi tempoh 2018 hingga 2021.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Pada 27 Mei lalu, dua pembantu kesihatan berusia 40 dan 42 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes sama.

Sumber : Harian Metro
Hit : 1571