Berita Menarik

Peter Anthony didapati bersalah palsukan dokumen

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony didapati bersalah atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan Sistem Mekanikal dan Elektrikal (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi membuat keputusan itu hari ini, selepas pihak pembelaaan gagal menimbulkan keraguan terhadap kes Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Malalap itu.

Pada 14 Disember tahun lalu, mahkamah memerintahkan Anthony, 51, membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadap tertuduh.

Pada 21 September 2021, pihak pendakwaan menutup kes berkenaan selepas 15 saksi dipanggil memberi keterangan.

Seramai 15 saksi pendakwaan termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah dan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan yang bermula April 2021.

Anthony sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati, didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan memasukkan pernyataan palsu dengan niat menipu di pejabat Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun hingga 21 Ogos 2014.

Beliau juga berdepan pertuduhan pilihan iaitu sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati, menggunakan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan pernyataan palsu pada tajuk surat itu di tempat dan masa yang sama.

Sumber : Berita Harian & The Malaysia Insight


Hit : 1943