Berita Menarik

Bapa tujuh anak didakwa terima suapan RM600

AYER KEROH 20 Mei- Seorang bapa tujuh anak, bertugas sebagai penolong jurutera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan menerima suapan berjumlah RM600, pada 2019.

Suhairol Samsudin, 44, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan keatasnya dibacakan jurubahasa mahkamah dihadapan hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan, Suhairol bertugas sebagai penolong jurutera didakwa menerima suapan tanpa balasan bernilai RM600 daripada seorang individu bernama Abd Rashid Omar bagi tugas-tugas pendawaian di Pejabat Pentadbiran Kolej Vokasional Melaka Tengah.

Perbuatan itu dilakukan pada 28 Feb 2019 di Lot 1762-3 Jalan Sungai Punggur Laut, Melaka.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 165 kanun keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nur Syakila Yaacob manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000.

Hakim Elisabet turut memerintahkan tertuduh menyerahkan passport selain perlu lapor diri ke pejabat SPRM setiap awal bulan.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 17 Jun depan.

Sumber : Melaka Hari Ini


Hit : 1560