Berita Menarik

Warga Bangladesh rasuah mengaku bersalah

JOHOR BAHRU, 18 Mei - Pemilik premis warga bangladesh dijatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas tuduhan memberi rasuah sebanyak RM250 pada 19 Januari lalu.

Keputusan dibuat Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail selepas tertuduh, Mostafa Mohammad, 34 tahun mengaku salah atas pertuduhan terhadapnya.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di Pejabat Jabatan Penguatkuasaan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri ( MBIP) , Johor Bahru pada 12 tengah hari, 19 Januari lalu.

Ia sebagai dorongan agar Pengawai Penguatkuasa MBIP tersebut tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas kedai runcit Nur Mostafa kerana melanggar syarat-syarat lesen perniagaan.

Premis tertuduh didapati menjual arak tanpa lesen dan rokok tanpa cukai, selain membela ayam hidup untuk jualan dan meletakkan dagangan di kaki lima sehingga menimbulkan halangan.

Pendakwaan dibuat mengikut peruntukan Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut seksyen 24(1) akta sama.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara sebulan jika gagal membayar denda, sementara wang rasuah RM250 dilucut hak.

Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ( SPRM) Nik Lokman Nik Mohd Nor.

S

Hit : 1547