Kes-kes Menarik

Dua individu didakwa sogok kakitangan TNB RM95,500

MELAKA – Dua individu termasuk seorang pengarah syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memberi rasuah kepada seorang kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) berjumlah RM95,500.


Tertuduh, Tey Boon Sin, 33, yang merupakan pengarah syarikat pengiklanan dan Leang Tin Sheng, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja 10 pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.


Mengikut empat pertuduhan terhadap Boon Sin, dia didakwa secara rasuah memberi suapan bernilai RM68,500 kepada Mohd. Amir Mohamad yang merupakan juruteknik di unit Special Engagement Against Loses (SEAL) Zon Selatan TNB.


Suapan itu sebagai dorongan untuk tidak mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap kesalahan yang telah dilakukannya di bawah Seksyen 37(1) dan 37(3) Akta Bekalan Elektrik 1990.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di empat lokasi berasingan di sekitar Melaka Tengah antara 6 Oktober 2021 hingga 18 Januari lalu.


Tin Sheng pula didakwa dengan enam pertuduhan menyogok individu sama sebanyak RM27,000 bagi tujuan mendapatkan maklumat premis yang telah diserbu serta tidak mengambil sebarang tindakan terhadapnya.


Perbuatan itu dilakukan di beberapa lokasi berasingan di sekitar Melaka Tengah dan Alor Gajah antara 13 Ogos 2021 hingga 18 Januari lalu.

Bagi kesalahan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(b)Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.


Terdahulu pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Irwanshah Abdul Samat mencadangkan jaminan RM20,000 terhadap Boon Sin dan RM10,000 bagi Tin Sheng. 


Sumber : KOSMO! ONLINE


Hit : 260