Kes-kes Menarik

Bekas Sidang Kampung Rembia didakwa terima rasuah

MELAKA: Seorang bekas sidang kampung didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tiga pertuduhan meminta dan menerima suapan bernilai RM500 bagi menutupi kesalahan pembuangan bahan terlarang di kawasan terbuka, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Zakaria Manap, 60, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja tiga pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan. 

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh telah secara rasuah, didakwa meminta daripada Pengarah Urusan Ami Ventures Sdn. Bhd., Ahmad Mudzafri ldris untuk dirinya suapan wang tunai sebanyak RM500.

Tindakan itu sebagai suatu dorongan agar tertuduh tidak melaporkan kepada Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), atas kesalahan pekerja syarikat itu membuang bahan terlarang di kawasan terbuka di Kampung Rembia, Alor Gajah.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh di Stor Ami Ventures, Jalan Rembia Hub 3, Pusat IKS Rembia, Alor Gajah pada 20 Januari 2019.

Bagi pertuduhan kedua serta ketiga, tertuduh telah secara rasuah menerima suatu suapan baginya wang tunai berjumlah keseluruhan RM500 daripada pekerja syarikat sama di tempat sama pada 20 dan 21 Januari 2019.


Bagi semua kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama. 

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi. 

Difahamkan, tertuduh yang mempunyai lapan anak dan lima cucu dilantik sebagai Sidang Kampung Rembia selama dua tahun bermula 2019 sehingga 2021.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Nur Syakila Yaacob mencadangkan jaminan sebanyak RM5,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Beliau turut mengemukakan syarat tambahan agar pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri setiap bulan di Pejabat SPRM Melaka sehingga kes selesai. 

Zakaria yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu agar jumlah tersebut dikurangkan dengan alasan tidak lagi bekerja dan hanya mengambil upah melakukan kerja-kerja kampung.

Selepas mendengar hujah kedua pihak, mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 dan memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport miliknya kepada mahkamah. 

Elesabet kemudian menetapkan tarikh 13 Mei sebagai sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Sumber : UTUSAN


Hit : 192