Berita Menarik

Bekas CEO kolej didakwa terima suapan lulus pengeluaran sijil, transkrip

KUANTAN: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah kolej di Jengka didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan, di sini hari ini atas dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM5,000 bagi tujuan mengeluarkan sijil dan transkrip pelajar.

Amran Mustaffa, 58, didakwa melakukan kesalahan tersebut lapan tahun lalu, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Bagi dua pertuduhan tersebut, Amran didakwa menerima rasuah RM5,000 daripada Muhammad Izhar Ismail melalui pengurus sebuah syarikat, Noralyra Ismail sebagai upah untuk mengeluarkan sijil dan transkrip program asasi sains di kolej terbabit tanpa mengikut prosedur pembelajaran yang betul.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bank CIMB Berhad cawangan Jerantut pada 21 dan 24 Oktober 2015.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah seksyen 24 Akta sama.

Kesalahan itu memperuntukan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Dalam pendakwaan tersebut, Pendakwa Raya SPRM, Kamariah Seman menawarkan kos ikat jamin RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam Ahmad Mawardi Che Hassan yang mewakili Amran memohon pengurangan berikutan anak guamnya itu mempunyai tanggungan seorang isteri dan sembilan anak yang masih bersekolah.

Beliau berkata, anak guamnya itu sudah dipecat dari jawatannya selepas digantung kerja sejak 2019.

Tambahnya, sepanjang proses siasatan dijalankan selama lima tahun, tertuduh memberi kerjasama yang baik kepada pihak SPRM.

Sementara itu, Ahmad Zamzani menetapkan tertuduh dikenakan ikat jamin RM8,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin beserta beberapa syarat tambahan.

Dengan itu, tertuduh diarahkan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri ke pejabat SPRM pada setiap awal bulan bermula April sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes ditetapkan, 17 Mei ini. 

Sumber : UTUSAN

Hit : 1875