Kes-kes Menarik

Bekas pengarah di ICU JPM Pulau Pinang dipenjara 15 bulan

PUTRAJAYA - Bekas Pengarah di Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) Pulau Pinang kekal dipenjara dan didenda selepas Mahkamah Rayuan hari ini (Rabu) menolak rayuannya dan mengekalkan sabitan bersalah atas dua pertuduhan rasuah membabitkan nilai keseluruhan RM50,818.50, sembilan tahun lepas.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Kamaludin Md Said bagaimanapun mengurangkan hukuman penjara daripada tiga tahun kepada 15 bulan terhadap Mohd Noor Rejab selepas mempertimbangkan beberapa faktor terutamanya umur perayu yang kini berusia 60 tahun.

Dalam keputusan sebulat suara, Kamaludin berkata, mahkamah berpandangan tiada alasan kukuh untuk campur tangan dapatan mahkamah-mahkamah sebelum ini yang mendapati perayu bersalah atas kedua-dua pertuduhan dihadapinya.

"Kami telah melihat penghakiman Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi dan kami dapati kedua-dua mahkamah itu membuat dapatan yang konsisten. Dapatan yang dibuat adalah berdasarkan fakta dan kita tidak boleh ganggu fakta tanpa alasan. Kami minta maaf Encik Mohd Noor, kami tidak boleh buat apa-apa.

"Namun, peguam perayu (Mohd Noor) telah merayu terhadap hukuman dan setelah mempertimbangkan latar belakang, umur dan faktor lain dalam kes ini, mahkamah mengurangkan hukuman penjara tiga tahun kepada 15 bulan serta denda RM130,812.50 dikekalkan bagi pertuduhan di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan hukuman penjara satu tahun dikurangkan kepada enam bulan untuk kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

"Mahkamah memerintahkan hukuman penjara berjalan secara serentak bermula hari ini," kata Kamaludin yang bersidang bersama-sama Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Hashim Hamzah.

Bekas penjawat awam itu telah membayar denda tersebut.

Sebaik sahaja mahkamah berhenti bersidang, Mohd Noor dilihat berpelukan dengan seorang wanita dipercayai anaknya dan cuba menenangkan ahli keluarganya itu.

Mohd Noor merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 11 Julai 2019 yang mengekalkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM130,812.50 terhadapnya yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen Georgetown pada 18 Mei 2018.

Mohd Noor sebagai Ketua Sektor Khidmat Pengurusan dan Pembangunan di Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang didakwa telah menggunakan jawatannya itu bagi mendapatkan suapan iaitu dengan memperakukan baucar bayaran bertarikh 17 Oktober 2013 bagi pembayaran membekalkan 'Lab Coat' untuk pembantu makmal di seluruh sekolah Pulau Pinang bernilai RM26,162.50 kepada Syarikat Nur Ehsan Maju Enterprise, yang mempunyai kepentingan terhadap dirinya.

Kesalahan didakwa dilakukan di pejabat Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang pada 17 Oktober 2013, mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Mohd Noor juga didakwa menerima untuk dirinya wang berjumlah RM24,656 melalui cek Maybank daripada seorang individu yang mempunyai hubungan kerja rasmi dengan dirinya di Maybank Cawangan Penang Road, Pulau Pinang pada 24 Oktober 2013, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Zain Ibrahim dan Mohd Fairuz Johari manakala perayu diwakili peguam Ashok Athimulan. - Bernama


Hit : 248