Kes-kes Menarik

Pegawai JPJ mengaku bersalah meminta suapan

Seremban: Pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas dakwaan meminta rasuah daripada pemilik sebuah syarikat sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap lapan kenderaan pada Februari 2018 hingga Mei 2019.

Tertuduh, Mohd Najmi Zakaria, 38, dijatuhi hukuman penjara selama 14 hari bermula dari tarikh ditangkap dan didenda RM17,500 dan jika gagal membayar, dia boleh dipenjara selama tiga tahun.

Dia membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Rushan Lutfi Mohamed sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Menurut pertuduhan, tertuduh secara rasuah meminta suapan iaitu wang berjumlah RM3,500 daripada pemilik sebuah syarikat bagi dirinya sebagai dorongan sebagai Pegawai Pemeriksa Kereta Motor JPJ Negeri Sembilan iaitu memastikan tiada tindakan penguatkuasaan diambil berkaitan lapan kenderaan yang tidak mematuhi notis di bawah Seksyen 61(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kesalahan dilakukan pada 13 Februari 2018 hingga 31 Mei 2019 di sekitar daerah Seremban.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali.

Dalam prosiding kes, peguam, Asmawi Ismail memohon hukuman paling minimum dikenakan ke atas anak guamnya yang mempunyai seorang isteri dan dua anak yang masih bersekolah.

"Tertuduh sudah 14 tahun berkhidmat dalam JPJ, dia juga menjaga ibu bapa yang sudah tua yang mana ayahnya baru menjalani pembedahan jantung dan dalam proses untuk sembuh.

"Kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah yang pertama dihadapinya dan sebagai penjawat awam pengakuan bersalah itu akan menjejaskan pekerjaannya serta dia akan hilang pendapatan untuk menanggung keluarga," katanya.

Pihak pendakwaan bagaimanapun meminta mahkamah supaya menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh dengan mengambil kira kepentingan awam.

Dalam pada itu, mahkamah bagaimanapun melepas dan membebaskan tertuduh bagi satu pertuduhan lain di bawah Seksyen 171A Kanun Prosedur Jenayah, selepas mengambil kira pengakuan bersalah serta persetujuan pihak pendakwaan dan tertuduh untuk mengguna pakai TIC (Take Into Consideration).

Hit : 299