Kes-kes Menarik

Bekas pengurus dipenjara, denda, guna dokumen palsu bantu isteri peroleh kontrak pengangkutan RM2juta

SHAH ALAM – Bekas pengurus syarikat pengangkutan dipenjara sehari dan didenda RM20,000 atas kesalahan menggunakan dokumen palsu bagi membantu syarikat milik isterinya mendapatkan kerja-kerja pengangkutan berjumlah RM80,000 antara 2019 hingga 2020.

Tertuduh, Wan Kamarulbahri Wan Roslan, 37, membuat pengakuan bersalah itu selepas pertuduhan pilihan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut pertuduhan, pada 26 Ogos 2019 di FGV Transport Services Sdn Bhd (FGVTSSB) Pelabuhan Klang, tertuduh menggunakan dokumen palsu bagi surat permohonan syarikat Kay R Resources (M) Sdn Bhd bertarikh 20 Ogos 2019 untuk berdaftar sebagai sub kontraktor pengangkutan syarikat GLC itu bagi mengangkut minyak sawit dan baja.

Pertuduhan terhadap Wan Kamarulbahri dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga dua tahun dan didenda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Noryusriza Zulkifli memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal dengan kesalahan tertuduh di mana kepentingan awam perlu mengatasi kepentingan peribadi tertuduh.

Menurutnya, tertuduh perlu dikenakan hukuman tegas kerana dia diberikan kepercayaan dan amanah oleh syarikat, namun memungkiri dan menafikan hak syarikat lain untuk mendapat kerja-kerja pengangkutan tersebut.

“Mohon satu hukuman setimpal untuk memberi pengajaran bukan sahaja kepada tertuduh bahkan kepada masyarakat umum,” katanya.

Bagaimanapun peguam Muhammad Noor Azfar Noor Azmi memohon mahkamah meringankan hukuman memandangkan anak guamnya tidak teragak-agak mengaku bersalah dan sudah insaf dengan perbuatannya itu.

Katanya, Wan Kamarulbahri juga sudah menghukum dirinya sendiri apabila bertindak meletakkan jawatan pada Jun 2020.

Selain itu, tertuduh juga mempunyai tanggungan termasuk seorang isteri yang tidak bekerja serta dua anak berusia 7 dan 14 tahun yang masih bersekolah serta empat adik-beradiknya yang masih belajar.

Tertuduh yang berasal dari Jerantut Pahang itu perlu menanggung ibu bapa dan ibu bapa mentuanya uzur, khususnya bapanya yang memerlukan rawatan hospital.

Sementara itu, tertuduh yang mengaku bersalah menggunakan dokumen palsu tersebut dengan alasan untuk membantu FGVTSSB yang ketika itu kritikal untuk mendapatkan khidmat sub kontraktor bagi mengangkut minyak sawit dan baja.

Katanya, ia susulan kadar bayaran yang diberikan FGVTSSB kepada sub kontraktor luar sangat rendah, hingga memaksanya mendaftarkan syarikat milik isterinya bagi mengatasi kekurangan itu.

“Saya agak stress akibat tekanan daripada ibu pejabat FGVTSSB dan pelanggan sehingga menyebabkan saya terpaksa mendaftar syarikat Kay R Resources.

“Sebab itu saya ambil keputusan untuk berhenti pada akhir 2019 tapi diminta bekerja hingga Jun 2020 walaupun niat bantu selesaikan masalah FGVTSSB.

“Keuntungan syarikat ini hanya RM1 setan sekadar bantu masalah permintaan tinggi pengangkutan lori,” katanya.

Bagaimanapun Hakim Rozilah berang dengan alasan tertuduh menggunakan dokumen palsu untuk membantu FGVTSSB sedangkan ia jelas demi kepentingan peribadi dan menafikan hak syarikat lain mendapatkan kerja-kerja pengangkutan terbabit.

“Dalam rayuan kamu kata letak jawatan pada Jun 2020, sedangkan ada transaksi (syarikat) lagi semasa kamu letak jawatan pada 26 Jun 2020.

“Tapi 26 Jun 2020 kami masih teruskan dan jumlahnya semakin banyak lebih RM400,000

“Untuk membantu syarikat saya tidak terima, saya nak tahu kesalahan ini untuk kepentingan diri kamu sendiri.

“Kamu kena tahu kesalahan ini atas kesalahan pilihan bukan kesalahan utama.

“Hukuman pilihan lebih rendah tapi masih boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 2 tahun. Ia kesalahan sangat serius.

“Kamu perlu berlaku adil kepada syarikat lain, orang lain kamu, bukan cara menipu dan palsukan dokumen,” katanya.

Selepas mempertimbangkan hujah daripada pendakwaan dan pembelaan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sehari berkuat kuasa hari ini serta denda RM20,000 dan jika gagal membayar denda, tertuduh akan dipenjara enam bulan.

Sumber : MalaysiaGazette


Hit : 285