Berita Menarik

Pembantu penguat kuasa KPDNHEP mengaku terima suapan RM700

JOHOR BAHRU – Seorang pembantu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengaku bersalah menerima wang suapan berjumlah RM700 pada 10 Mei 2021 di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, di sini, hari ini.

Tertuduh, Muhamad Basri Bonari, 43, didakwa melakukan kesalahan berkenaan pada 4.55 petang di stor Syarikat Khaw Tai Trading Sdn Bhd di Muar.

Dia didakwa gagal melaporkan pemberian sogokan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah Seksyen 25(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(2) akta sama.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

Mengikut kertas pertuduhan tertuduh yang bertugas di Pejabat KPDNHEP cawangan Muar didakwa diberikan wang suapan oleh Phang Min Lee berjumlah RM700 bagi tidak mengambil apa-apa tindakan ke atas Syarikat Khaw Tai Trading Sdn Bhd yang menjalankan perniagaan barang kawalan bekalan.

Muhamad Basri mengangguk sebagai tanda memahami pertuduhan yang dibacakan kepadanya dan beliau mengaku bersalah terhadap dakwaan berkenaan di hadapan hakim Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Ikhwan Ihsan Jaludin manakala tertuduh diwakili peguam, Tan Song Yan.

Terdahulu Song Yan memohon mahkamah supaya mengenakan hukuman denda kepada tertuduh dan tidak dijatuhi hukuman penjara kerana ia boleh menjejaskan masa anak guamnya.

Beliau berkata, tertuduh kini menyara isteri yang bekerja sebagai pembantu am dan tiga cahaya mata berusia antara enam hingga 17 tahun selain ibu mentuanya.

Tambahnya, Muhamad Basrin yang tidak mempunyai rekod kesalahan lampau telah memberi kerjasama sepanjang siasatan dan pengakuannya telah menjimatkan masa mahkamah.

Menurut Song Yan, selain itu anak guamnya menginsafi perbuatan yang dilakukannya itu dan ia merupakan detik hitam dalam kehidupan dan kerjaya tertuduh.

Sementara itu, Ikhwan Ihsan mencadangkan mahkamah mengenakan hukuman setimpal kepada tertuduh kerana perbuatannya telah menjejaskan reputasi agensi berkenaan selain memupuk kesedaran ramai untuk menghindari rasuah.

Setelah mendengar hujah kedua-dua belah pihak, Ahmad Kamal Arifin menetapkan hukuman denda RM2,000 dikenakan ke atas Muhamad Basir atau penjara sebulan sekiranya beliau gagal membayar denda tersebut.

Hakim itu berkata, mahkamah memberi peluang kepada tertuduh dengan tidak dipenjarakan, sebaliknya hanya dikenakan denda.

Muhamad Basir membayar denda tersebut.

Sumber : MalaysiaGazette


Hit : 1707